KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedang berusaha untuk mewujudkan satu model ekonomi baru untuk negara yang antara lain berteraskan kepada peningkatan produktiviti pekerja yang bermatlamat membantu mereka meningkatkan pendapatan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberikan skop kerja kepada majlis ekonomi yang akan ditubuhkan, yang terdiri daripada pakar-pakar ekonomi termasuk dari luar negara, untuk mencadangkan satu model ekonomi yang baru untuk negara.
Katanya model ekonomi itu juga akan menggariskan bagaimana Malaysia boleh menganjakkan kedudukan ekonominya daripada sebuah negara yang berada pada peringkat pendapatan sederhana tinggi kepada pendapatan tinggi.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata peningkatan produktiviti pekerja bukan sahaja melalui sumbangan daripada segi waktu kerja tambahan tetapi juga melalui penambahan inovasi dan kreativiti di kalangan pekerja.
"Kalau kita menekankan ini, kita dapat menentukan tahap pengeluaran yang lebih tinggi lagi, bukan kenaikan tetapi lonjakan berganda daripada segi daya pengeluaran kita".
"Sebab itu bila kita mencapai keadaan sedemikian maka kita boleh memberi gaji yang lebih besar kepada pekerja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat khas di Perhimpunan Hari Pekerja 2009 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, Sabtu.
Najib berkata demikian ketika diminta menghuraikan amanatnya di perhimpunan itu yang antara lain menyentuh mengenai model ekonomi baru, tabung pemberhentian pekerja dan usaha menambahbaik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Mengenai model ekonomi baru itu, Najib berkata setiap perusahaan di negara ini, sama ada melibatkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun syarikat-syarikat kerajaan, mereka mesti melihat bagaimana untuk terus meningkatkan kemahiran pekerja melalui inovasi dan kreativiti.
Ini boleh membawa kepada peningkatan produktiviti dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekerja yang akhirnya memakmurkan lagi negara, katanya.
"Inilah model yang saya tekankan. Satu model ekonomi baru yang akan memberi faedah kepada pekerja dan negara kita akan memiliki daya saing yang lebih dan memacu kemajuan lebih besar".
"Kita tidak akan membenarkan negara berada di takuk sediakala. Tetapi kita mesti mencari jalan bagaimana kita boleh mengubah dan menganjakkan supaya Malaysia menjadi sebuah negara "high income" (pendapatan tinggi) dalam masa tertentu.
"Inilah hasrat kerajaan. Kita sama-sama (akan) mendukung konsep dan kaedah yang perlu dilakukan supaya cita-cita (ini) menjadi realiti," katanya.
Mengenai tabung pemberhentian pekerja, Najib berkata Kementerian Sumber Manusia sedang meneruskan perbincangan dengan semua pihak.
"Dan apabila kementerian sudah bersedia, (mereka) akan membuat cadangan kepada jemaah menteri (untuk tindakan selanjutnya)," katanya.
Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membuat gesaan agar kerajaan mewujudkan segera tabung itu dengan kerajaan menyumbangkan RM500 juta. MTCU sudah membuat tuntutan lebih 10 tahun untuk penubuhan tabung itu.
Mengenai penambahbaikan kepada KWSP, Najib berkata perkara itu sedang dalam kajian kerana kebanyakan pekerja di negara ini mengalami kesulitan kewangan sebab jumlah yang diterima adalah terhad, manakala jangka hayat rakyat Malaysia kini mencecah antara 73 dan 76 tahun.
Katanya kajian KWSP menunjukkan bahawa 70 peratus pencarum menghabiskan caruman simpanan mereka dalam tempoh tiga hingga 10 tahun.
"Jadi kita kena cari jalan bagaimana pembayaran itu boleh dibuat berdasarkan annuiti atau bulanan. Dengan itu kita dapat menjamin perlindungan kepada pekerja-pekerja kita," katanya.
Dalam amanatnya di hadapan lebih 10,000 pekerja, Najib berkata semua pihak perlu mengekal dan mempertahan iklim perusahaan harmoni yang wujud di negara sekarang kerana hubungan yang baik antara majikan dan pekerja merupakan satu daripada asas penting menentukan kejayaan Malaysia.
Katanya, adalah penting hubungan majikan-pekerja diasaskan sesuai dengan prinsip pemuafakatan, saling faham memahami dan yakin meyakini, kerana jika hubungan ini diasaskan kepada sikap konfrontasi maka keadaan yang lazim berlaku di negara lain termasuk negara maju seperi mogok mungkin boleh berlaku di sini.
"Jika keadaan ini (konfrontasi) diamalkan maka ekonomi itu akan musnah dan jika musnah yang terjejas bukan sahaja pihak majikan tetapi pekerja, malahan rakyat negara itu akan menderita kerana keadaan eknomi negara itu terjejas," katanya.
Dalam konteks yang lebih menyeluruh pula, Najib berkata hubungan bersifat tiga segi, majikan, pekerja dan kerajaan perlu berasaskan kepada saling bantu membantu antara satu sama lain untuk membolehkan negara mencapai kejayaan lebih hebat pada masa depan.
"Majikan perlu memahami aspirasi pekerja dan pekerja pula perlu menyumbang dengan penuh dedikasi manakala kerajaan pula menjalankan tanggungjawab melalui dasar-dasar positif merangsang ekonomi," katanya.
Najib berkata tindakan majikan untuk sentiasa memastikan kos produktiviti berada di tahap rendah, tidak seharusnya menjejaskan pekerja dari segi peningkatan pendapatan mereka.
"Jika ini berlaku, pekerja tidak akan mendapat penilaian pada sumbangan mereka," katanya.
Najib juga menggesa majikan di negara ini seperti restoran dan industri kecil dan sederhana menawarkan suasana dan syarat kerja yang lebih baik bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan bekerja di sektor-sektor ini.
Katanya, "kini ada lebih dua juta pekerja asing di negara ini".
"Harap jangan cari jalan mudah memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara lain kerana upah murah. Beri peluang kepada anak-anak tempatan," katanya.
Perdana Menteri berharap tahap pengangguran akan berada di tahap minimum dan kerajaan akan terus berusaha mewujudkan peluang pekerjaan.
Katanya kadar pengangguran mungkin akan meningkat dari 3.1 peratus pada tahun lepas kepada empat peratus tahun ini berikutan kemelesetan ekonomi global.
-- BERNAMA - Pautan asal di sini.
Post a Comment
MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!
Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.
Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.
"BAHASA JIWA BANGSA"
Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.