ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Penanti: BN Buat Keputusan Bijak, Tumpu Kepada Pentadbiran Negara


PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Barisan pemimpin UMNO menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dan menyifatkannya sebagai satu langkah yang tepat.

Malah keputusan itu juga disambut baik oleh DAP dengan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata ia pernah dilakukan oleh BN semasa pentadbiran Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak pada pilihan raya kecil Menglembu di Perak pada tahun 1975.

Di PUTRAJAYA, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan BN itu ialah untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran negara dan kebajikan rakyat terutama dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata pentadbiran kerajaan tidak akan dapat berjalan lancar sekiranya banyak masa ditumpukan dalam pilihan raya kecil yang sengaja dicetuskan oleh pihak pembangkang.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil di Penanti yang akan diadakan pada 31 Mei ini.

"Kita nak mentadbir kerajaan. Pilihan raya (umum) dah berlalu, (sepatutnya) lima tahun sekali saja, takkan nak adakan tiap-tiap bulan atau tiap-tiap tahun. Kita perlu utamakan rakyat".

"Pembangkang bukan ada apa yang dia mampu nak berikan, bukan dia boleh bangunkan jalanraya pun, bukan boleh bagi biasiswa pun, dia tak boleh buat rumah pun, mereka hanya bergantung dengan isu. Bukan kita tak boleh bertanding, tapi persoalannya bagaimana kewajaran untuk bertanding atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 371 anggota kementerian di sini hari ini.

Ditanya sama ada tindakan itu akan menjejaskan imej BN, Mohd Shafie berkata imej BN akan lebih terjejas sekiranya perkhidmatan kepada rakyat tidak dapat dilaksanakan dengan baik, malah adalah lebih baik sekiranya tenaga dan wang yang bakal digunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti disalurkan untuk pembangunan kawasan-kawasan yang lebih memerlukan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyelesaikan krisis kepimpinan dalaman parti itu melalui pilihan raya kecil, menyusahkan orang ramai.

Ini kerana pilihan raya kecil kawasan Penanti tidak berasaskan kepada kehendak perlembagaan sebab peruntukan dalam perlembagaan dan Akta Pilihan Raya secara jelas dan nyata menyatakan bahawa sesuatu kerusi itu hanya boleh dikosongkan (antara lain) jika seseorang wakil rakyat diisytihar muflis, ditukar kewarganegaraan ataupun meninggal dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pemegang-pemegang berkepentingan program Childline Malaysia di sini, hari ini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata agenda utama kerajaan BN pada masa sekarang adalah mengutamakan khidmat kepada rakyat dan memulihkan ekonomi negara dan tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil yang membazirkan wang awam.

Di KOTA KINABALU, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu merupakan langkah yang lebih bermaruah dan ia sebagai protes BN terhadap usaha memperlekeh sistem demokrasi.

"Saya rasa lebih bermaruah untuk kita tidak bertanding. Saya percaya kalau ada pilihan raya kecil yang betul-betul diperlukan, kita akan bertanding, kita tidak pernah takut bertanding dalam pilihan raya tapi bukan dengan cara ini, ia bukan cara yang betul," katanya selepas menghadiri mesyuarat Pemuda UMNO Negeri Sabah di sini.

Di REMBAU, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sepatutnya wakil rakyat mesti mempunyai sikap iaitu mereka yang telah dilantik menjadi wakil rakyat mesti bekerja dan wakili rakyat.

"Itulah janji manifesto mereka semasa pilihan raya umum lepas, tetapi mengapa pula sekarang, senang-senang nak berhenti. Ini merupakan suatu penyalahgunaan sistem demokrasi yang wujud di negara kita dan kita tidak mahu terperangkap cara ini," katanya.

"Saya harap penyokong BN di Penanti, jangan ada rasa mereka terbiar atau dipinggirkan. Kita akan terus membela dan jentera kerajaan di negeri-negeri yang kita kalah, kita ada cara untuk terus membela rakyat," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata langkah BN untuk tidak bertanding di Dun Penanti membuktikan Najib tidak terjerat dengan muslihat pembangkang.

"Najib telah mengambil keputusan bijak untuk tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang menjadikan pilihanraya kecil bagi menyelesaikan krisis dalaman yang mereka hadapi," katanya.

PKR meletakkan Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri, Mansor Othman, 56, sebagai calon pada pilihan raya kecil itu.

Selain PKR, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah dan seorang ahli perniagaan, Mohd Saberi Othman telah menyatakan hasrat bertanding sebagai calon bebas.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Mohammad Fairus Khairuddin.

-- BERNAMA - Pautan asal di sini.

0 comments:

Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers