ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

UMNO Wajib Konsisten, Tegas dan Kekalkan Prinsip Perjuangan



AMPANG - Ahad, 17 Mei '09:
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau lebih dikenali dengan UMNO adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan dengan agenda utama untuk mewakili kaum Melayu dan membela nasib kaum Melayu secara khusus di samping tidak mengabaikan kepentingan kaum lain. UMNO sebagai parti tunjang Barisan Nasional.


Prinsip utama ini perlu dikekalkan dan UMNO wajib konsisten dan tegas sepanjang masa tanpa perlu berganjak dan tidak mempedulikan apa pun yang cuba diprovokasikan oleh parti-parti pembangkang atau parti-parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri sekalipun (jika ada).

Sebagai contoh saya membincangkan Barisan Nasional (BN) di Semenanjung (khususnya) kita mempunyai parti-parti komponen yang utama yang mewakili kaum masing-masing. Selain UMNO yang mewakili kaum Melayu, MCA mewakili kaum Cina, MIC mewakili kaum India.

Tetapi kalau mahu difikirkan masih lagi tidak adil apabila kaum Melayu cuba dihelahkan oleh kaum Cina dan India dalam Barisan Nasional sendiri kerana Gerakan juga mewakili kaum Cina (secara majoriti) dan PPP juga mewakili kaum India. Melayu dalam Barisan Nasional masih taat setia bersama UMNO dan tiada helah untuk menubuhkan sebuah parti baru yang lain.

Bermakna kaum Cina dan India dalam Barisan Nasional mempunyai dua buah parti politik dan masing-masing menuntut kuota dan kerusi untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Diturut kehendak pun kita salah, tak diturut lagi lebih kita dipersalahkan.

Kadang-kadang tuntutan yang melampaui batas daripada kepimpinan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional ini pun boleh menjejaskan kredibiliti UMNO dan hubungan kerjasama dua hala.

Bila dilayan (jika ada) mana-mana tuntutan yang bersesuaian ia akan dipandang serong oleh golongan Melayu dalam pembangkang. Jika tidak dilayan pula akan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakan komponen sendiri. Akhirnya UMNO seakan-akan tersepit antara "diluah mati emak, ditelan mati bapak".

Dalam isu ini pucuk pimpinan UMNO yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional haruslah lebih bijaksana di dalam menangani segala permintaan rakan-rakan komponen dalam Barisan Nasional demi menjaga hati semua pihak khususnya golongan Melayu yang masih mengharapkan perjuangan UMNO untuk membela nasib kaum Melayu.

Idea penubuhan kumpulan pemikir UMNO dan BN sepertimana yang dumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengemukakan 3 muka baru UMNO Selangor amatlah baik demi menjaga hati dan perasaan semua kaum secara samarata. Namun diharapkan apa yang telah terkandung di dalam Kontrak Sosial antara kaum-kaum di Malaysia tidak wajar diubahsuai untuk memenuhi selera kaum lain dan mengabaikan kepentingan Melayu yang majoriti.

UMNO telah menabur terlalu banyak jasa dan bakti dalam usaha perit dan jerih memerdekakan negara daripada tangan penjajah dan di dalam usaha membangunkan pendidikan dan ekonomi orang-orang Melayu. Rencatan perubahan tidak harus dibuat mendadak. Hak-hak keistimewaan kaum Melayu dan kaum bumiputra wajib dipelihara.

Bukan bermakna kita lupa segala sokongan dan kerjasama daripada kaum-kaum lain yang turut sama gigih menjayakan misi memerdekakan Tanah Melayu tetapi kaum bukan Melayu harus akur dan sedia memahami bahawa nama asal negara (Tanah Melayu) telah jelas membuktikan Malaysia adalah tanah milik Melayu pada asalnya.

Ia tidak menyebut 'Tanah Cina' atau 'Tanah India' atau 'Tanah Benggali' maka kita orang-orang Melayu wajib mempertahankan kedaulatan yang menjadi hakmilik Melayu. Biar apa pun orang hendak kata tetapi kita mesti tegas dengan prinsip perjuangan kita. Ini bukan soal perkauman tetapi membicarakan soal hak asasi kita.

Atas dasar Melayu yang kaya dan tinggi nilai adat dan budaya sebab itulah kita Melayu selalu bertolak ansur demi kerukunan dan keharmonian untuk semua kaum yang ada di dalamnya.

Sungguhpun begitu kaum-kaum lain daripada golongan bukan Melayu haruslah menghormati dan mentaati Kontrak Sosial yang sudah lama dipersetujui bersama. Sikap rakan-rakan komponen yang sering menimbulkan pelbagai tuntutan jawatan itu dan ini sejak kebelakangan ini amatlah tidak wajar kerana ia bertentangan dengan prinsip yang sudah dipersetujui sejak awal oleh kepimpinan terdahulu yang diwakili semua kaum.

Di kala Barisan Nasional berkedudukan tercabar dengan situasi semasa, rakan-rakan komponen sepatutnya berganding bahu memainkan peranan utama masing-masing dan mengeratkan lagi kerjasama bagi memperkukuhkan perjuangan di dalam satu barisan. Sebaliknya bukan mengambil kesempatan untuk menimbulkan onar dengan megusulkan bermacam-macam tuntutan. Kesefahaman sejati adalah tunggak keharmonian dan perpaduan kaum.

Di pihak pembangkang pula satu-satunya parti yang mewakili kaum Melayu ialah PAS. Hari ini apabila PAS sudah menyatakan hasratnya untuk membuka keahlian bersekutu kepada kaum bukan Melayu dan bukan Islam bermakna akan hanya tinggal UMNO sahaja satu-satunya parti perjuangan untuk kaum Melayu di negara kita.

Jika keadaan ini berlaku saya yakin dan percaya orang-orang Melayu yang telah hilang kepercayaan kepada UMNO sejak akhir-akhir ini akan kembali berfikir dengan lebih matang untuk kembali menyokong UMNO sebagai sebuah parti milik bangsa Melayu dan keseluruhan ahli-ahlinya adalah beragama Islam. Apabila kaum Melayu kembali bersatu teguh maka secara langsungnya kaum-kaum lain akan akur menyokong kita.

Sepatutnya UMNO dan PAS sudah lama saling duduk berunding secara baik dan bergabung dalam kesepakatan demi memperkukuhkan kedudukan Melayu. Malangnya PAS lebih mementingkan diri sendiri dan sanggup bersekedudukan dengan DAP daripada UMNO demi mencari pengaruh dan sokongan kaum Cina dan India sehingga tergamak menggadai agama dan bangsa sendiri.

Fitnah memfitnah oleh pemimpin PAS terhadap pemimpin UMNO bukan lagi sesuatu yang berselindung malah dilakukan secara terbuka tanpa rasa berdosa oleh golongan yang mengaku ulamak dalam PAS. Ini kenyataan yang berlaku yang tidak patut dinafikan oleh PAS.

Pembentukan kerajaan perpaduan antara BN dan PAS dilihat kabur dan hanya akan menemui jalan buntu kerana setiap kali UMNO cuba mengajak PAS berunding pasti ada sahaja timbul macam-macam spekulasi oleh kepimpinan PAS yang cuba dipengaruhi oleh Ketua Umum PKR yang siang-siang lagi telah meletakkan kumpulannya menyusup masuk dengan fahaman lain kepada PAS yang dikenali sebagai kumpulan Erdogan.

Pada awalnya mereka menjawab setuju untuk bermuqabalah tapi bila diberi pandangan oleh rakan-rakan pakatan mereka yang lain (PKR dan DAP) maka lain pula keputusannya dan selalu berubah-ubah. Ia jelas apabila baru-baru ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan tidak perlu berbincang dengan BN mengenai usaha pembentukan kerajaan perpaduan.

Sikap PAS ketara terlalu angkuh dan riak. Mereka akan hanya melutut semula untuk berbincang dengan BN setelah hilang sokongan kaum Cina dan India atau apabila mereka bergaduh sesama sendiri. Keadaan ini sudah banyak kali berlaku.

Hendak mengharapkan PKR lagi tidak nampak jalan kerana parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah parti untuk semua kaum sama seperti DAP. PKR dan DAP mencetus perjuangan baru (itulah 'Harapan Baru') dengan budaya samseng kerana Datuk Seri Anwar adalah pelopor kepada aktiviti rusuhan jalanan sejak menjadi aktivis pelajar lagi.

Budaya samseng tidak ada di dalam UMNO dan BN. Lama kelamaan orang-orang Melayu akan dapat memikirkannya dan kembali menilai perjuangan UMNO apabila kemarahan semakin reda dari hari ke hari dengan syarat kepimpinan UMNO hari ini haruslah membuktikan transformasi dilaksanakan dengan berkesan.

Kita (UMNO) tidak perlu terpengaruh dengan dakyah dan kenyataan pembangkang yang mengatakan perjuangan terhadap sesuatu kaum tidak lagi relevan sekarang ini. Yang penting semua parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional sudah faham akan tanggungjawab masing-masing dan bekerjasama dengan baik.

Pembangkang sebenarnya ingin melihat UMNO goyang dan hancur dan cuba mempengaruhi kita menukar prinsip perjuangan sepertimana mereka yang tidak ada ketetapan prinsip dan tiada pendirian yang teguh. Pembangkang sering berubah-ubah halatuju dengan harapan untuk memikat golongan bukan Melayu menyokong mereka (khususnya PAS).

Ahli Parlimen Pontian, YB Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan UMNO Pusat yang baru harus memikul tanggungjawab yang berat ini bagi memainkan peranan penting turun padang bersama jentera penerangan seluruh negara untuk menemui rakyat di seluruh negara bagi menjelaskan keadaan yang berlaku.

Beliau harus meyakinkan rakyat supaya menolak dakyah dan kenyataan-kenyataan pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat dengan menepis kenyataan agenda perjuangan berdasarkan bangsa tidak lagi relevan. Siapa cakap? Kalau tanah air ini milik Cina atau milik India, mahukah mereka berlaku adil dan membahagikan hak secara samarata?

Mana mungkin selaku tuan rumah kita harus memberi hak samarata kepada tetamu yang kemudiannya telah kita terima sebagai penghuni tetap? Kalau dalam perniagaan pun, setelah kita bersusah payah mengasaskannya daripada mula, apakah dengan adanya pelabur yang menanam modal maka kita akan sanggup menawarkan keuntungan samarata?

Saya percaya tidak akan ada manusia sebodoh itu untuk mengizinkannya berlaku. Oleh yang demikian kaum-kaum Cina dan India serta lain-lain kaum haruslah menerima hakikat ini secara lebih profesional.

Helah pembangkang untuk menjadikan ‘Malaysian Malaysia' jauh berbeza dengan '1Malaysia'. Ia adalah semata-mata untuk menarik sokongan kaum Cina, India dan segelintir kaum lain. Slogan ‘Harapan Baru’ Ketua Umum PKR hanyalah gimik politik dan layak dianggap sebagai retorik.

Ini terbukti setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah beberapa kali gagal dalam misinya untuk merampas kerajaan persekutuan daripada BN dengan agenda tidak bermoralnya (memikat wakil rakyat BN melompat parti). 16 September '08 adalah tarikh keramat dan ‘Harapan Baru’ yang kecundang. Ketua pembangkang itu jelas telah menipu rakyat khususnya seluruh penyokong dalam pakatan pembangkang.

Saya terbaca satu pendapat daripada seorang editor Cina bernama Lee Ban Chen yang menulis mengenai politik semasa di abad ke-20 ini. Ia disiarkan di laman web Malaysiakini pada 4 Mei '09 lalu dengan tajuk 'Runtuh BN, Tegaklah Politik Baru'.

Dalam penulisannya beliau cuba membincangkan dasar-dasar kerajaan yang lebih bebas, demokratik, adil dan progresif bersesuaian dengan kepentingan masyarakat sivil, hak-hak asasi manusia serta nilai-nilai universal.

Beliau menolak politik perkauman seperti yang berlaku di dalam Barisan Nasional dengan mewujudkan parti-parti komponen yang mewakili kaum masing-masing. Katanya UMNO yang menunjangi pentadbiran BN mengamalkan sikap 'racist' dan politik sempit.

Konklusinya beliau mengharapkan benteng politik perkauman UMNO dan Barisan Nasional mesti ditumpaskan sebelum politik baru dapat bertapak, proses ini perlu dimulai daripada penolakan secara tuntas segala dasar, falsafah dan institusi politik perkauman di negara kita.

Saya menganggap penulisan Lee Ban Chen itu sebagai satu pandangan peribadi beliau sahaja kerana saya mentafsirkan beliau sebagai rakyat negara yang masih tidak memahami atau sengaja tidak mahu menerima hakikat erti maksud sebenar yang terkandung di dalam Kontrak Sosial dan tidak menghormatinya. Beliau seolah-olah mahukan hak samarata yang memberi keuntungan kepada bangsanya sedangkan ia adalah mustahil untuk dikompromi oleh UMNO.

Walau bagaimanapun beliau akur dengan pembohongan ketua pembangkang mengenai tarikh keramat 16 September '08. Katanya, rampasan kuasa melalui lompatan parti secara beramai-ramai seperti dijanjikan oleh Pakatan amnya dan Anwar Ibrahim khasnya terbukti gagal, penyokong PR seolah-olah terperdaya dalam perkara ini.

Dalam soal transformasi ini, apa jua pembaharuan sekalipun, yang hak tetap menjadi hak dan tidak boleh sesiapa memperkotak-katikkannya. UMNO wajib tegas dan konsisten mempertahankan hak-hak Melayu dan bumiputra tanpa memberi ruang untuk ianya dipersoalkan lagi.

Insya'Allah jika dizinkan Allah SWT, saya sedang berusaha menulis sebuah buku mengenai '30 Dalil Kenapa Pembangkang Tidak Boleh Diberi Hak Memerintah Negara'. Jika tiada apa-apa halangan dan rintangan, ia akan diterbitkan sebelum pilihan raya umum ke-13 atau secepat mungkin.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

1 comments:

30 dalil tu bagus kalau dpt dipercepatkan boleh menjadi rujukan utk difikirkan. apa agaknya tu ye?


Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers