ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Rakyat Perlu Kikis Mentaliti Etnik - Kata Najib



Kenyataan Perdana Menteri ketika berucap di majlis perasmian Proton Exora malam tadi

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama)
-- Rakyat Malaysia perlu mengikis sikap memandang sesuatu perkara melalui lensa mentaliti etnik atau "ethnic silos" masing-masing, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.


Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia perlu bersama-sama berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia di bawah konsep "1Malaysia".

"Marilah kita keluar daripada beroperasi dalam prisma etnik seperti yang pernah kita lakukan selama ini. Itu juga maksud konsep "1Malaysia".

"Kita mesti menghormati satu sama lain, melepasi batas toleransi dan memupuk kepercayaan satu sama lain selain menyemai sikap saling percaya dalam kalangan kumpulan etnik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) misalnya tidak semestinya melakukan perkhidmatan di lokasi berdasarkan etnik kaum masing-masing.

Najib berkata sebagai contoh, apabila beliau mengumumkan pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuatkuasa serta-merta pada 3 April selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang baru, MIC sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana membebaskan kesemua 13 tahanan ISA itu dan bukan hanya menyentuh mengenai dua anggota Hindraf yang dibebaskan.

"Kalaulah kita bebaskan dua anggota Hindraf, jangan lupa ada 11 lagi. Jangan hanya memikirkan Hindraf saja," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau telah menjelaskan konsep "1Malaysia" pada mesyuarat pertama jemaah menteri pada pagi ini di Putrajaya, dan mengingatkan kalangan menteri supaya tidak hanya memberi perhatian kepada komuniti mereka sendiri sahaja di samping meminta mereka supaya memenuhi harapan rakyat yang begitu tinggi.

"Saya menggariskan empat perkara iaitu integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan. Kabinet perlu merupakan sebuah Kabinet yang berteraskan Kabinet Rakyat atau yang dekat di hati rakyat, mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan melakukan perkara yang boleh mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan," katanya.

Beliau berkata di samping itu, jemaah menteri perlu melakukan perubahan dan pembaharuan serta memenuhi kehendak semua lapisan etnik menerusi dialog yang berterusan.

"Kita tak boleh anggap kerajaan mengetahui segala-galanya. Kita perlu buka pintu kepada dialog dengan pelbagai kumpulan supaya keputusan yang dibuat kerajaan nanti yang merupakan benar-benar bersandarkan kehendak rakyat," katanya.

Najib juga mengingatkan anggota jemaah menteri supaya tidak dianggap sebagai kerajaan yang memihak kepada kumpulan tertentu atau mana-mana badan korporat, walaupun amat penting untuk melaksanakan dasar yang mesra kepada sektor swasta.

"Tetapi pokok pangkalnya mesti ambil apa-apa keputusan bersandarkan kepentingan rakyat keseluruhannya," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata di bawah konsep "1Malaysia", perjuangan membasmi kemiskinan perlu dilihat merangkumi kemiskinan yang merentasi semua kaum sama ada di bandar, luar bandar, estet, kampung baru dan orang Asli.

"(1Malaysia) bukan bermakna mengenepikan dasar untuk menolong bumiputera, malah dasar perlu dilaksanakan dengan cara adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan," katanya.

Selain itu, beliau juga berkata konsep "1Malaysia" tidak boleh disalahertikan oleh pihak tertentu, umpamanya pembangkang yang mengatakan konsep itu sama dengan "Malaysian Malaysia".

-- BERNAMA - Pautan asal di sini.

2 comments:

"Rakyat perlu mengikis mentaliti ethnik".
Pada pandangan saya selain ianya sukar untuk dikikis, jika berhasil menjadi satu kenyataan, bagaimana rupa-minda rakyat ketika itu?. Apakah mungkin perjuangan kearah mencapai matlamt DEB akan mendapat sokongan dan bantuan wajar dari kaum India dan Cina? Apakah tidak ada seorang pun lagi bangsa cina dan india yang tidak mahir berbahasa melayu? Apakah komposisi kaum dalam sektur swasta akan berubah menjadi sangat majmuk?
Apakah tanah rezab melayu akan terhapus? Aatau tidak akan adalah istilah bukan bumi dan bumi di Tanah melayu ini? Semua ini sebenarnya sangat membimbangkan kita.
Jangan sampai yang kita kendung bertaburan dan yang kita kejar tetap tidak kesampaian.
Pemuda UMNO kenalah berhati-hati dengan saranan seperti ini kerana risikonya kepada bangsa asal sangat jelas dibaca, jika tidak berhati-hati dalam pelaksanaan.


Saudara, memang ianya sukar untuk dikikis dalam keadaan segera tetapi haruslah kita pupuk semangat ini bersama. Masih ada masa dan belum terlewat lagi.

Sebenarnya kalau kita teliti perkara yang diseru oleh PM baru kita, ianya bukan sesuatu yang baru malahan mengajak kembali ke zaman sebelumnya ketika di bawah kepimpinan terdahulu. Konsep "1Malaysia" sudah diwujudkan sebelumnya cuma mungkin kita kurang prihatin.

Dahulu kita aman dan makmur. Semua kaum saling bertoleransi dan bekerjasama antara satu sama lain. Dengan termeterainya Kontrak Sosial semua kaum yang ada di negara kita memahami hak masing-masing dan tiada tuntutan2 yang bukan2 seperti yang berlaku kebelakangan ini.

Kaum selain daripada Melayu khususnya Cina dan India yang menuntut Hak Keistimewaan Melayu dihapuskan adalah keterlaluan dan melanggar batasan Kontrak Sosial. Tapi kenapa ini mesti berlaku? Ia berlaku kerana kuasa politik orang2 Melayu semakin lemah.

Orang2 Melayu sudah berpecah kepada beberapa kumpulan kerana sikap tamakkan kuasa. Secara tidak sedar peluang ini diambil kesempatan oleh kaum-kaum lain untuk menguasai politik negara kita. Kaum2 lain bersatu di sebalik tabir sedangkan Melayu bercakaran secara nyata.

Merujuk kepada pandangan beberapa pemimpin seperti Datuk Ibrahim Ali, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datuk Mohamad Aziz dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, sekiranya Melayu bangkit bersatu maka Melayu kembali kuat.

Penguasaan Melayu di Parlimen adalah majoriti dan secara tidak langsung kaum-kaum lain terpaksa akur sepertimana zaman sebelumnya. Jangan sampai ke tahap minoriti baru kita nak sedar. Beringatlah sebelum nasi menjadi bubur. Baca di sini selanjutnya.Maksud PM mengajak rakyat mengikis mentaliti etnik ialah supaya kita tidak terlalu bersikap perkauman tetapi bijak membawa keseimbangan. Pemimpin (wakil rakyat) diseru bekerja untuk semua kaum secara saksama dan bukan hanya memfokuskan kepada kaum sendiri semata-mata.

Soal tanah rezab Melayu seperti yang saudara bangkitkan itu satu perkara subjektif yang kita perlu mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada kepimpinan sebagai satu jaminan kepada kita orang2 Melayu. Namun saya yakin hak Melayu tidak akan digadaikan.

Untuk memastikan pelaksanaan yang berhati-hati, sebagai rakyat kita berhak memantau pengucapan pemimpin2 agar selaras dengan pelaksanaan tindakan mereka.

Kuasa rakyat lebih besar sebab itu saya menyeru seluruh rakyat untuk kembali bersatu demi kebaikan generasi akan datang. Kita tidak mahu anak cucu kita akan datang menyumpah kita kerana gagal mempertahankan kedaulatan negara dan hak2 orang Melayu.

Rujukan bermanfaat - Kontrak Sosial


Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers