ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Setengah Jam Berbincang dan Bersuaikenal Dengan Khairy Jamaluddin



AMPANG - Rabu, 13 Mei '09: Tengahari semalam 12 Mei, jam 1:00 hingga 1:30 tengahari, saya dan isteri sempat mengadakan perjumpaan ringkas selama 30 minit dengan saudara YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di pejabat beliau di Bukit Damansara.

Temu janji tersebut telah lama diaturkan cuma baru semalam kami berkesempatan menemui beliau kerana kesibukan jadual tugas beliau setelah menerajui Pergerakan Pemuda UMNO sejak memenangi jawatan itu dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 26 Mac lalu. Kami sedia maklum dan memahami keadaan tersebut.

Saya dan isteri tiba di perkarangan pejabat beliau di Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara tepat jam 12:50 tengahari dan terus menaiki anak tangga untuk menuju ke pejabatnya di tingkat atas. Kami disambut oleh Puan Elena, pembantu peribadi beliau dan duduk menunggu di sofa ruang tamu.

Beberapa minit kemudian setelah ketibaan kami dimaklumkan oleh pembantu peribadi beliau kepadanya, kami berdua dijemput masuk ke bilik saudara Khairy dan beliau menyambut kedatangan kami di muka pintu biliknya untuk mengiringi kami masuk dan duduk di sofa dalam bilik beliau.

Ketrampilan saudara Khairy tengahari semalam hanya berpakaian kasual dengan kemeja berpetak lengan pendek berwarna biru muda dan berseluar jeans tetapi kelihatan kemas. Cara beliau menyambut kami juga membuatkan kami rasa teruja kerana beliau begitu sopan dengan senyuman yang ceria dan mengalu-alukan kehadiran kami sebagai tetamu beliau tengahari semalam.

Tersentuh hati dengan cara sambutan dan layanan beliau kerana saudara Khairy tidak seperti sesetengah pemimpin lain yang pernah kami temui untuk berurusan. Ada di antaranya begitu ego dan terlalu 'bossy' seakan-akan tidak 'welcome' tetamu yang datang berjumpa tetapi beliau jauh berbeza. Ternyata slogan "setiakawan" memang menjadi amalan beliau dalam kehidupan hariannya.

Di lubuk hati kecil saya berkata sesuatu kerana selama ini beliau sering digambarkan dengan sikap tidak sopan dengan keperibadian yang agak kasar dan segala keburukan oleh musuh-musuh politik beliau dan orang-orang yang tidak menyukai beliau samada yang berada di dalam parti mahupun di luar parti. Malangnya apa yang pernah saya dengari itu tidaklah benar belaka malah saudara Khairy tidaklah seburuk yang disangkakan.

Kelemahan dan keburukan di mana-mana adalah lumrah selagi kita bernama manusia. Tidak ada sesiapa pun yang dijadikan sempurna namun setiap individu itu pasti ada kebaikannya. Malah penagih dadah dan banduan juga tidak harus kita pandang hina sebaliknya wajar diberikan peluang dan sokongan untuk mereka berubah. Saudara Khairy Jamaluddin sudah banyak berubah dan beliau dilihat semakin matang.

Untuk tidak membuang masa, selepas duduk sahaja saya memperkenalkan diri dengan menghulurkan sekeping kad nama dan terus memulakan bicara kerana setengah jam yang terhad itu sudah tentu tidak dapat berbincang banyak perkara walaupun pada dasarnya kami mempunyai banyak hal-hal penting untuk diusulkan kepada beliau.

Ini kerana selepas pertemuan dengan kami, beliau perlu bergegas ke Wisma FAM di Kelana Jaya untuk menghadiri mesyuarat di sana. Hal ini telah dimaklumkan awal kepada kami oleh pembantu peribadi beliau beberapa hari sebelum pertemuan itu.

Namun kami menganggap pertemuan sesingkat itu sebagai permulaan yang baik untuk bersuaikenal dan mengenali saudara Khairy dengan lebih dekat lagi. Selama ini saya dan Khairy belum pernah duduk bertentang empat mata berbincang secara khusus kecuali hanya bertembung dalam beberapa majlis perhimpunan anjuran UMNO sahaja.

Ketika beberapa kali berhubung dengan beliau melalui telefon sebelum ini kami telah memberi sedikit gambaran atau bayangan tentang perkara-perkara yang mahu dibincangkan dan semalam tentulah lebih memudahkan kami mengisi pertemuan itu dengan terus membuat sedikit introduksi kepada beliau tanpa berlengah disebabkan masa yang terbatas dan menutup perbualan dengan konklusi serba ringkas yang mana ianya akan disusuli dengan perbincangan lebih lanjut kemudian nanti.

Saya berpendapat intipati perbincangan di antara kami bertiga semalam adalah satu perkara baru yang agak menarik, sesuai dengan konsep transformasi yang diperkenalkan oleh pucuk pimpinan baru negara yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Pembaharuan bermakna membawa perubahan ke arah yang lebih positif dalam segala aspek demi sebuah perjuangan yang lebih kukuh dan mantap.

Sebagai ahli UMNO di akar umbi, saya dan isteri menyampaikan hasrat dan berkongsi idea kami bagaimana mahu membentuk satu perancangan yang lebih strategik di dalam membantu memperkukuhkan semua sayap parti di semua peringkat yang akan bermula di peringkat cawangan.

Saranan kami disambut baik oleh saudara Khairy Jamaluddin dan beliau berjanji untuk sedia memberikan sokongan dan kerjasama pada bila-bila masa. Beliau juga sempat meniupkan sedikit semangat kepada kami untuk memulakan langkah awal dan meminta kami sentiasa berhubung dengannya bagi memaklumkan perkembangan dari masa ke semasa bagi mengkaji apakah bantuan sokongan yang mampu disalurkan oleh pihak beliau dan majlis tertinggi dalam usaha menterjemahkan idea berkenaan.

Bukan bermaksud hendak mengatasi kewibawaan sesiapa malah rasa terpanggil untuk berkongsi idea dan melaksanakan perancangan yang mungkin tercicir daripada pandangan orang-orang lain selama ini. Fokus untuk melaksanakan perancangan yang kami ajukan kepada beliau sebenarnya mampu membawa keuntungan dan manfaat kepada parti khususnya kepada UMNO Bahagian Ampang dan UMNO Selangor secara amnya.

Apa yang dikemukakan oleh kami kepada beliau itu hanya sekadar satu usaha penambahbaikan sebagai sumbangan dan bakti kami di peringkat akar umbi untuk melihat perjuangan parti mampu diperkasakan kembali dan sejajar dengan harapan beliau sendiri yang pernah disampaikan kepada kami melalui pesanan ringkas (SMS) agar tampil membantu beliau dalam tugas yang amat penting ini.

Pengkhususan mengenai apa yang diperbincangkan semalam belum dapat dimaklumkan sekarang kepada umum selagi langkah awal pelaksanaannya belum bermula.

Saya sentiasa berpegang kepada sikap tidak suka heboh bercakap selagi tidak berjaya melaksanakan apa yang telah dirancangkan. Sebaik-baiknya biarlah kita lebih bekerja daripada banyak bercakap atau setidak-tidaknya menjadikannya seiringan samarata. Jika kurang bercakap pun ada buruknya juga kerana ada waktu kita wajar menjawab segala cemuhan dan tuduhan oleh pihak-pihak yang tidak berpuashati terhadap kita.

Kesimpulannya perjumpaan selama 30 minit bersama saudara Khairy Jamaluddin semalam adalah pembuka langkah dan era pembaharuan bagi merealisasikan hasrat serta harapan pucuk pimpinanan sebagaimana yang diuar-uarkan.

Sikap saudara Khairy yang menghormati idea dan pandangan orang lain harus saya puji. Selain itu beliau sangat terbuka dengan teguran-teguran yang membina. Semoga beliau berjaya menerajui Pergerakan Pemuda UMNO dengan satu pembaharuan yang mampu membawa kemajuan dan kejayaan dengan lebih cemerlang.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

0 comments:

Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers