ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Sekilas Pandangan, Serungkai Pesanan, Segunung Harapan



Salam buat sahabat bloggers, pengunjung, saudara dan saudari yang dihormati. Terima kasih atas kunjungan semua. Blog "Aspirasi Baru" memautkan banyak artikel dan laporan berita-berita semasa yang menarik untuk diikuti sesuai dengan maksud slogan "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi".

Pilihan tajuk berita adalah mengenai isu-isu yang berkaitan keadaan semasa yang mungkin ada di kalangan kita terlepas mengikutinya. Jika pun tidak, sekurang-kurangnya apa yang sempat dimuatkan di sini boleh membantu sesama kita membuat rujukan sebagai sejarah perkembangan politik tanahair dari masa ke semasa. Bahan-bahan ini sebenarnya berguna sebagai rujukan di masa hadapan.

Ada di antaranya sudah dibuat ulasan di bahagian komentar dan ada yang tidak. Komentar saya berdasarkan pemerhatian dan perkembangan semasa. Ada pandangan peribadi dan juga ada pandangan daripada sahabat-sahabat. Tidak kurang juga pandangan daripada banyak pihak di serata negara yang dikongsikan bersama termasuklah rakan-rakan seperjuangan yang sealiran dan mereka yang tidak sealiran.

Adalah menjadi prinsip saya bergaul dengan semua pihak, baik dengan kelompok Barisan Nasional mahupun kelompok Pakatan Rakyat. Saya dan sahabat-sahabat akrab tidak menyisihkan sesiapa dalam kehidupan harian. Kita semuanya sama, kita bangsa Malaysia yang majmuk terdiri daripada berbilang kaum. Perbezaan fahaman atau ideologi di pentas politik tidak wajar dijadikan batu penghalang untuk kita berkawan atau bersahabat. Rakan diundang, musuh jangan dicari.

Bertentang pendapat tidak semestinya kita dituntut agar bermusuhan antara satu sama lain. Fahaman ideologi politik yang berbeza janganlah terbawa-bawa sehingga mengganggu gugat atau memberi kesan buruk kepada kehidupan harian kita. Jiran tetap jiran, rakan tetap rakan dan keluarga tetap menjadi keluarga. Bijak-bijaklah kita menilai untuk membezakannya tanpa perlu bersikap taksub.

Saling hormat menghormati di antara kita tanpa mengira apa agama dan apa bangsa merupakan satu tuntutan dan tanggungjawab bersama demi kerukunan dan keharmonian hidup bermasyarakat di dalam sebuah negara yang merdeka.

Kemerdekaan bererti kebebasan yang boleh dihurai dengan maksud yang luas. Adalah tidak cerdik jika kita mengurung minda kita umpama berpemikiran seperti "katak di bawah tempurung". Namun kebebasan bersuara janganlah pula disalahgunakan untuk mengkritik atau mengecam sesuka hati tanpa fakta dan tanpa asas yang kukuh. Sikap tidak bertanggungjawab buruk padahnya.

Keterbukaan adalah landasan perjuangan terbaik bagi kita dalam usaha memperbetulkan segala yang khilaf dan yang jumud. Kita manusia yang saling lemah dan saling tidak sempurna maka ada baiknya kita saling bertukar-tukar idea dan berkongsi pendapat di dalam membahaskan sesuatu isu. Sebarang bentuk perdebatan yang sihat amatlah dialu-alukan.

Berfikirlah menggunakan akal bukan dengan emosi. Sikap ekstremis hanya mengundang situasi tegang yang berpanjangan di antara kita. Amalkan kesederhanaan dan sikap saling bertolak ansur. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Jadikan yang baik itu sebagai teladan, yang buruk dijadikan batu sempadan. Kita sama, kita serupa, kita saling berharapan, mengharapkan segunung kebaikan buat semua.

Hanya sekilas pandangan membawa satu pesanan demi segunung harapan.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

0 comments:

Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers