ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Kepimpinan UMNO Perlis dan Selangor Menuntut Penyelesaian Segera



Isu jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan Selangor perlu diselesaikan segera dalam keadaan permuafakatan yang baik. Jangan biarkan isu ini berlarutan sehingga mengelirukan ahli-ahli dan menjejaskan parti.


Semoga tiada sebarang perselisihan di kalangan pemimpin-pemimpin atasan di peringkat negeri dalam menyelesaikan perkara ini. Perebutan jawatan tidak seharusnya berlaku di kalangan pemimpin tertinggi negeri di kala UMNO sedang melalui proses transformasi di bawah kepimpinan baru.

Elakkan perpecahan yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepada parti. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan di meja perundingan. Bermuafakatlah berbincang untuk mencari jalan tengah ke arah penyelesaian terbaik.

Jika peralihan kuasa di peringkat kerajaan persekutuan telah berjalan dengan lancar baru-baru ini, begitulah harapan kami ahli-ahli di akar umbi untuk melihat perkara yang serupa berlaku di peringkat negeri.

Sikap buruk pemimpin yang saling mempertikaikan kenyataan siapa yang layak dan siapa yang tidak layak memegang jawatan tersebut tidak wajar berlaku. Ia hanya merugikan kita semua. Situasi sedemikian hanya menimbulkan perasaan kurang senang sesama sendiri dan memburukkan lagi keadaan.

Kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim yang masih menyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang mahu jawatan itu diserahkan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengguris hati Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang sepatutnya mengambil alih jawatan berkenaan daripadanya.

Datuk Seri Shahidan menyifatkan tindakannya itu sebagai satu keputusan yang tepat dengan alasan demi mahu menyelamatkan UMNO negeri daripada berlaku perpecahan yang lebih serius.

Agak peliknya di sini ketika Datuk Seri Shahidan memegang jawatan Menteri Besar Perlis, kenapa jawatan tersebut tidak diserahkan kepada Datuk Seri Najib yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri?

Dalam isu ini saya menilai Datuk Seri Dr Md Isa Sabu selaku Menteri Besar Perlis lebih layak mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis daripada Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ini merupakan tradisi yang selama ini diamalkan oleh UMNO yang memperuntukkan Menteri Besar atau Ketua Menteri yang seharusnya memegang jawatan tertinggi parti di peringkat negeri bagi memudahkan penyelarasan tugas serta soal pentadbiran berkaitan politik.

Berkait tentang tipu muslihat yang berlaku di dalam perebutan kuasa bagi jawatan Menteri Besar Perlis sebelum ini sebagaimana yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Shahidan, ia adalah perkara yang sudah berlalu. Hakikatnya hari ini, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu adalah Menteri Besar Perlis yang sah dilantik dan diperkenan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis.

Tetapi ianya berbeza dengan apa yang didesak oleh Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo di Selangor kerana Selangor pada hari ini bukan di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional tetapi ditadbir oleh kerajaan campuran PKR, PAS dan DAP.

Desakan supaya Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyerahkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor kepada Perdana Menteri atau mungkin kepada Timbalan Perdana Menteri adalah bersesuaian bagi memikul tanggungjawab berkenaan buat sementara waktu selagi kerajaan negeri masih di bawah kerajaan campuran pembangkang.

Menurut apa yang ditegaskan oleh bekas Menteri Besar Selangor (Dr Khir Toyo) itu, ramai Ketua UMNO Bahagian di Selangor mahu Tan Sri Muhammad Muhd Taib digantikan ekoran kekalahannya di tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan UMNO bulan lalu.

Pada hemat saya secara peribadi, sebaik-baiknya jika dapat diletakkan seorang pemimpin lain untuk mempengerusikan Badan Perhubungan UMNO Selangor maka eloklah dipertanggungjawabkan kepada pemimpin lain selain daripada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Langkah ini dilihat satu kebaikan kepada parti agar tidak membebankan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang sudah sedia memikul tanggungjawab yang lebih berat terhadap pentadbiran negara.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

0 comments:

Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers