ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Ampang Diancam Samun Bersenjata, Apakah Tindakan Polis?


ACP Abdul Jalil (OCPD Ampang) dan Insp. Norazman (JSJ Ampang)

AMPANG - Rabu, 3 Jun '09: Sejak akhir-akhir ini saya sudah melihat sendiri, mendengar dan mendapat banyak maklum balas mengenai keganasan samun dan rompakan bersenjata khususnya membabitkan premis perniagaan dan kes ragut bersenjata ke atas pejalan kaki.

Berita ini amat menyedihkan malah membimbangkan kepada kebanyakan wanita pejalan kaki yang berulang alik ke tempat kerja menaiki kenderaan awam. Pemilik premis perniagaan di kawasan Ampang turut bimbang dengan kes-kes samun bersenjata.

Laporan polis telah dibuat oleh kebanyakan mangsa samun tetapi di manakah pihak polis khususnya dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya (IPD Ampang Jaya) di dalam usaha mengatasi jenayah yang semakin menjadi-jadi ini?

Apakah tindakan susulan yang diambil setelah menerima laporan daripada mangsa-mangsa samun? Apakah pula tindakan pemantauan serta langkah-langkah pencegahan yang akan dikuatkuasakan oleh pihak JSJ, IPD Ampang Jaya?

Lebih mendukacitakan lagi apabila sebuah premis perniagaan yang sama telah disamun sebanyak 3 kali berturut-turut dalam tempoh masa yang singkat. Di manakah anggota-anggota JSJ, IPD Ampang Jaya? Kenapa pihak polis tidak bertindak secara proaktif bagi menempatkan anggota-anggotanya yang berpakaian preman di kawasan-kawasan yang telah dilaporkan?

Jika anggota-anggota JSJ yang berpakaian preman diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di kawasan-kawasan yang telah dilaporkan itu, tidak mungkin samun bersenjata akan berulang ke atas sebuah premis yang sama dalam jarak masa yang singkat.

Kejadian pertama berlaku di hadapan mata saya, di Jalan Bukit Indah 3/6, Taman Bukit Indah, Ampang. Dua lelaki Melayu menaiki sebuah motosikal (bertopi keledar) telah menggunakan sebatang kayu dan sebilah pisau lipat, meragut beg tangan seorang wanita Arab yang sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah.

Kejadian berlaku pada Januari 2009 (jika tidak silap). Saya tidak ingat tarikh sebenar tetapi masanya lebih kurang jam 3 petang. Kebetulan ketika itu saya sedang menjengah keluar dari dalam jeriji besi (grill) rumah saya. Saya bergegas mendapatkan kunci rumah untuk membuka mangga dan jeriji besi dan terus menerjah keluar dengan melompat balkoni (nasib baik rumah bawah) dan kemudian melompat pula pagar apartmen bagi membantu mangsa.

Malangnya kedua-dua peragut berkenaan telah sempat melarikan diri dengan motosikal berserta beg tangan yang telah diragutnya dan meninggalkan mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah setelah dipukul dengan sebatang kayu dan dikelar lehernya dengan pisau lipat.

Atas dasar perikemanusiaan disertai kemarahan melihat keganasan itu, saya dengan pertolongan seorang lelaki Cina (menaiki kereta) yang berhenti untuk membantu tanpa berlengah cuba mengejar motosikal dinaiki dua peragut tersebut menghala ke Lembah Jaya sambil saya menghubungi bilik gerakan IPD Ampang Jaya bagi mendapatkan bantuan kereta peronda (MPV).

Oleh kerana kami berkereta maka kami terkandas dalam kesesakan jalanraya dan hanya dapat memerhati motosikal dinaiki peragut itu berlalu dalam keadaan kelam kabut menuju ke arah Lembah Jaya tanpa sempat mencatatkan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.

Saya yang dibantu lelaki Cina tadi kemudiannya berhenti di hadapan kuari berdekatan Lembah Jaya menunggu kereta peronda sampai. Saya kemudian beralih menaiki kereta peronda dan menyusuri laluan yang dimasuki motosikal peragut itu sehinggalah ke Hulu Langat tetapi tidak menemui kelibat kedua-dua peragut tersebut.

Kejadian kedua yang saya ketahui berlaku pada minggu lepas di mana sebuah restoran mamak bersebelahan Pasaraya Bintang (hadapan LRT Ampang) telah disamun menggunakan senjata parang oleh 8 lelaki bertopi keledar lebih kurang jam antara 9 malam hingga 10 malam. Pemilik restoran berkenaan telah kerugian sejumlah tidak kurang RM500. Daripada apa yang dimaklumkan, pemilik restoran tidak membuat laporan polis, mungkin kerana diugut oleh perompak.

Kejadian ketiga yang saya ketahui berlaku 3 kali ke atas sebuah premis yang sama iaitu kedai barangan bayi 'Manjaku' yang baru dibuka terletak di Ampang Waterfront (baru), Jalan Bukit Belacan sejak dua minggu kebelakangan ini mengikut laporan agensi hartanah yang saya temui di situ pagi tadi. Pemilik serta kakitangannya didatangi beberapa lelaki menggunakan senjata parang dan pisau. Tarikh dan waktu kejadian sebenar serta jumlah kerugian tidak dimaklumkan kepada saya.

Kejadian keempat yang saya ketahui (kes terbaru) berlaku ke atas sebuah klinik yang baru dibuka juga terletak di Ampang Waterfront (baru) iaitu cawangan baru 'Poliklinik Bistari' (tidak jauh dari kedai 'Manjaku'). Kejadian berlaku pada hari Sabtu, 30 Mei 2009 baru-baru ini lebih kurang jam 9 malam.

Pemiliknya, Dr Nazli Bin Mukhtar telah kerugian sejumlah RM1,800 setelah premisnya dimasuki dua orang pemuda Melayu (tidak bertopeng dan tidak bertopi keledar) dalam lingkungan usia dua puluhan lalu mengacukan sebilah parang dan memeras ugut wang serta barangan berharga.

Ketika itu klinik masih lagi dalam waktu operasi tetapi tiada pesakit ketika kejadian. Pemiliknya (Dr Nazli) berserta seorang lagi doktor wanita dan seorang kakitangan pembantu (juga wanita) tergamam. Bagaimanapun, saya dimaklumkan laporan polis telah dibuat oleh pemilik pada hari Ahad keesokannya di Balai Polis, IPD Ampang Jaya.

Pendedahan ini terpaksa dibuat supaya pihak PDRM daerah Ampang Jaya yang diketuai Tuan OCPD baru, Y.Bhg. ACP Abdul Jalil, lebih peka dengan apa yang telah berlaku sejak akhir-akhir ini. Sebagai penduduk kawasan Ampang, saya merasa amat dukacita dengan kejadian demi kejadian yang berlaku dalam tempoh masa yang singkat ini.

Bagi bulan Mei 2009 sahaja sekurang-kurangnya lima kes samun telah berlaku yang mana saya ketahui. Kemungkinan terdapat banyak lagi kes-kes samun dan ragut yang saya tidak ketahui.

Ketika saya menghadiri pertemuan dalam satu 'Majlis Dialog' di antara penduduk Taman Bukit Indah, Ampang dengan pihak MPAJ dan PDRM, anjuran Ahli Parlimen Ampang (PKR) dan ADUN Lembah Jaya (PAS) bertempat di Surau Ulul Azmi, pada Sabtu, 7 Februari 2009 lalu, saya difahamkan oleh pegawai kanan Jabatan JSJ, IPD Ampang Jaya, Inspektor Norazman, pihaknya ada meletakkan unit rondaan khas pencegahan jenayah berpakaian preman di sekitar kawasan Ampang.

Malangnya anggota unit tersebut kemungkinan tidak mencukupi bagi membuat pemantauan dan pencegahan jenayah di sekitar kawasan Ampang. Oleh itu saya menyarankan kepada pihak polis IPD Ampang Jaya agar dapat menambahkan anggota-anggota pencegahan jenayah bagi memerangi kes-kes jenayah berat seperti samun dan ragut yang kian berleluasa di persekitaran Ampang di samping mempergiatkan lagi kekerapan rondaan oleh anggota JSJ berpakaian preman di kawasan-kawasan hitam atau kawasan-kawasan strategik yang mungkin menjadi tumpuan peragut dan penyamun.

Jika penduduk Ampang tidak mengharapkan kepada pihak polis, kepada pihak mana lagi kita harus membuat pengaduan? Maka itu saya bagi pihak penduduk Ampang, merayu agar setiap laporan yang diterima pihak polis IPD Ampang Jaya, ianya wajib diambil tindakan segera dan tidak dipandang remeh. Langkah-langkah penguatkuasaan hendaklah dilakukan secara lebih proaktif supaya kes-kes jenayah samun bersenjata dan ragut bersenjata seperti ini dapat dipatahkan dan diatasi demi kententeraman dan keselamatan orang awam. Penjenayah-penjenayah wajib diburu dan dihukum.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

2 comments:

eee... bahaya betul... :( apsal la owner kedai tu tak repot ngan polis?? hurm .. kenapa harus takut dengan criminal tu .. tapi kan .. kalau aku yang kena ugut gak .. nak tak nak kena diam gak .. nak mintak perlindungan dari polis.. sejauh mana perlindungan akan diberikan?


Support This.. :)
1. http://minusion.blogspot.com/
2. http://cendawan-goreng.blogspot.com/
3. http://trendpolitik.blogspot.com/
4. http://apasiapadimana.blogspot.com/
5. http://mynameisdot3x.blogspot.com/
6. http://papanzz.blogspot.com/
7. http://penggeletek.blogspot.com/
8. http://soulreaper-abarai.blogspot.com/
9. http://h2o-orihime.blogspot.com/
0. http://senyumrindu.blogspot.com/
1. http://sharps-shooters.blogspot.com


Yes.Malam tadi di stesen minyak Shell berhampiran dewan Dato' Ahmad Razali - berhadapan Balai Polis Trafik Ampang Jaya berlaku kejadian samun bersenjata melibatkan seorang wanita berbangsa Cina bersama anak kecil.Kurang 1 minit sebelum saya sampai.Mujur bukan saya yg kena.mengikut apa yg saya dapat daripada saksi kejadian - samun dilakukan 4org lelaki berbangsa India.Saya harap sangat pihak polis meningkatkan penguatkuasaan di ampang.


Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers