ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Istana Perak Wajib Tegas Dalam Menangani Krisis Politik Negeri Perak



AMPANG - Jumaat, 15 Mei '09: Ketegangan yang berlaku di negeri Perak antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akibat perebutan kuasa akan berlarutan selagi Istana Perak tidak tegas menanganinya. Tuanku Sultan Perak dan Tuanku Raja Muda Perak wajib mengutamakan rakyat dalam hal ini dengan mencemar duli untuk campurtangan bagi menyelesaikan krisis tersebut dengan segera.

Walaupun kita faham kuasa Raja-Raja Melayu berada di atas kuasa politik tetapi dalam keadaan tertentu peranan Raja-Raja Melayu adalah penting dalam menyelesaikan kemelut dan ketegangan sepertimana yang berlaku di negeri Perak sekarang.

Cadangan ini demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri Perak yang menjadi mangsa krisis politik yang melanda negeri itu di samping menjaga kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu agar tidak dipandang lekeh oleh sesetengah pihak. Cukuplah dengan penghinaan yang telah berlaku terhadap Institusi Raja-Raja Melayu oleh pembangkang sebelum ini dan ianya wajib dihentikan segera.

Jika Baginda Sultan Perak dan Baginda Raja Muda Perak masih tidak mahu bertegas untuk campurtangan kita bimbang keadaan kemelut ini akan berpanjangan dan semakin merumitkan lagi keadaan dan merugikan rakyat disebabkan usaha pembangunan dan ekonomi akan terbantut.

Perebutan kuasa ke atas kerajaan negeri Perak hari ini sudah semakin rumit dan memalukan negara. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei baru-baru ini yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak yang sah telah mengelirukan lagi keadaan jika sekalipun ianya berlandaskan fakta-fakta yang dikemukakan hakimnya dalam membuat keputusan penghakiman itu.

Ini kerana buat pertama kalinya dalam sejarah politik pihak yang telah hilang majoriti diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah dengan mengenepikan kumpulan majoriti. Penghakiman oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim hanya mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah tetapi tidak bermakna barisan exco-exconya sekali.

Sungguhpun pada lazimnya seseorang Menteri Besar itu mempunyai hak untuk melantik anggota exconya tetapi dalam keadaan ini situasinya berbeza kerana majoriti DUN Perak dikuasai oleh Barisan Nasional. Ia menimbulkan keraguan dan menjadi lebih 'complicated' seperti yang saya maksudkan.

Penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanya mengesahkan kedudukan Menteri Besar Perak tetapi tidak pula memutuskan kedudukan anggota exco kerajaan negeri Perak. Adakah ianya sah secara automatik? Kalau benar begitu bermakna perkara ini masih boleh dipertikaikan oleh Barisan Nasional yang mempunyai kuasa majoriti dalam DUN Perak. Sokongan 31 yang memihak kepada Barisan Nasional berbanding 28 di pihak Pakatan Rakyat sudah jelas sebagai bukti. Inilah kekuatan yang digambarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk kita membincangkan soal keadilan, keadaan yang berlaku ini dilihat sebagai tidak adil hanya kerana kesilapan di pihak Barisan Nasional yang tidak mengusulkan 'undi tidak percaya' ke atas Datuk Seri Mohammad Nizar dalam sidang DUN Perak. Itu sahaja kelemahan yang telah berlaku yang mungkin terlepas pandang oleh banyak pihak di sebelah Barisan Nasional sebelum ini.

Ada kemungkinan Barisan Nasional bukan tidak mahu mengusulkan 'undi tidak percaya' di dalam dewan tetapi memikirkan pada ketika itu Speaker DUN Perak dijawat oleh V. Sivakumar (DAP) yang sudah tentu akan menolak usul 'undi tidak percaya' ke atas Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak. Pada masa itu pula 7 ADUN Barisan Nasional dan 3 ADUN Bebas digantung oleh V. Sivakumar dan mengurangkan sokongan ke atas usul itu.

Oleh kerana pembangkang suka memberi syarat dalam bekerjasama membincangkan sesuatu isu, dalam hal mencari penyelesaian di Perak, sepatutnya Barisan Nasional memberi syarat kepada Pakatan Rakyat bagi mengenepikan penggantungan 10 ADUN tersebut yang dibuat oleh V. Sivakumar untuk membolehkan Barisan Nasional meneruskan usul 'undi tidak percaya' terhadap Menteri Besar Pakatan Rakyat ketika itu walaupun menghadapi kemungkinan ianya ditolak oleh Speaker V. Sivakumar.

Sekurang-kurangnya jika keadaan itu berlaku, Barisan Nasional mempunyai kekuatan fakta untuk membawa isu itu ke mahkamah bagi membuat bantahan kerana Speaker menolak suara majoriti ADUN yang memihak kepada Barisan Nasional.

Walaupun mungkin ada pihak yang akan beranggapan ia tidak wajar, tidak boleh atau tidak praktikal memfailkan bantahan itu di mahkamah bagi menuntut keadilan secara undang-undang tetapi ini seakan-akan sudah menjadi satu 'trend' baru politik yang telah dicetuskan pembangkang apabila merasa tidak puashati terhadap sesuatu keputusan maka akan dibawa ke mahkamah. Jadi apa salahnya Barisan Nasional turut mengikut 'trend' pembangkang dalam menuntut keadilan?

Penghijrahan 3 ADUN Bebas yang keluar daripada Pakatan Rakyat dan mengisytiharkan sokongan kepada Barisan Nasional dulu pun adalah kerana usaha Barisan Nasional yang mengikut rentak pembangkang yang cuba memikat wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang akhirnya berkesudahan dengan menjerat diri mereka sendiri.

Mengenai cadangan pembangkang untuk mengusulkan pembubaran DUN Perak bagi menyelesaikan krisis ini, itu hanyalah idea dan helah kepimpinan Pakatan Rakyat. Kepimpinan Barisan Nasional di bawah teraju Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir perlu menganggap cadangan itu sebagai satu opsyen terakhir dan jangan terburu-buru menyetujui cadangan tersebut yang hanya satu perangkap pembangkang.

Barisan Nasional tidak perlu tunduk kepada desakan Pakatan Rakyat kerana suara majoriti DUN Perak masih memihak kepada Barisan Nasional. Pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan usul 'undi tidak percaya' terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah tindakan terbaik ke arah menyelesaikan kemelut politik negeri Perak.

Sementara kuasa masih berada di tangan kita (BN) maka gunakanlah sebaik-baiknya bagi menamatkan krisis yang sudah berlarutan kerana jika Pakatan Rakyat berada dalam keadaan kita (BN) sudah pasti mereka juga akan menggunapakai kaedah dan strategi yang sama. Pakatan Rakyat tidak mahu rugi maka samalah juga dengan Barisan Nasional atau mana-mana pihak pun.

Kenapa agaknya awal-awal lagi V. Sivakumar menggantung 7 ADUN Barisan Nasional dan 3 ADUN Bebas daripada menghadiri sidang DUN Perak dahulu? Beliau takut kepada Barisan Nasional yang pasti akan membawa usul 'undi tidak percaya' terhadap Menteri Besar Pakatan Rakyat pada ketika itu. Kekurangan 10 sokongan ADUN yang digantung beliau itu akan berjaya menggagalkan usul tersebut. Kesempatan Datuk R. Ganesan sebagai Speaker DUN Perak dari Barisan Nasional sekarang lebih memudahkan pelaksanaan usul 'undi tidak percaya' ke atas Datuk Seri Mohammad Nizar.

Tuanku Sultan Perak dan Tuanku Raja Muda Perak harus membuat penilaian secara bijaksana untuk tidak akur dengan tuntutan pembubaran DUN Perak yang dikemukakan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat kerana Barisan Nasional mempunyai majoriti dalam DUN Perak. Pembubaran DUN hanya boleh diperkenankan Istana Perak jika ianya diusulkan oleh pihak yang mempunyai kuasa majoriti sahaja.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

0 comments:

Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers