ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

PRK Penanti - Pandangan Pelbagai Pihak


KUALA LUMPUR 18 April - Wajarkah Barisan Nasional (BN) bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan (DUN) Penanti?

Persoalan ini mendapat reaksi yang berbeza daripada pelbagai pihak.

Bagi yang menyokong penyertaan BN, mereka menegaskan apa jua pilihan raya kecil perlu disertai kerana ia platform demokrasi yang perlu diambil berat oleh semua parti apatah lagi bagi yang berstatus parti pemerintah selama 52 tahun.

Bagi yang tidak bersetuju, mereka berpendapat BN perlu menunjukkan protes terhadap parti pembangkang yang memperlekehkan sistem demokrasi dengan perkara yang remeh-temeh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tiada sebab untuk BN memberikan kemenangan percuma kerana tidak semua pengundi di DUN Penanti bersetuju dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kalau tidak bertanding kita macam sudah mengaku kalah, pembangkang walaupun di kubu kuat BN, mereka tetap bertanding. Semangat mereka kuat dan kita kena jadi macam itu juga".

"Kerusi ini kalah menang tidak akan memberi kesan kepada kita, jadi saya cadangkan biarlah UMNO dan komponen BN tempatan serta berdekatan seperti Kedah dan Perak yang turun berkempen berhabisan, bagi yang jauh seperti Kelantan atau Selangor tidak perlulah mereka ke Penanti," katanya sewaktu dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini pada satu majlis di Pekan, Pahang berkata, BN akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihan raya kecil DUN tersebut atau sebaliknya.

Pilihan raya kecil itu dijangka diadakan ekoran tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, BN mesti menyertai pilihan raya itu bagi mempertahankan integriti, prestij dan imejnya.

"Sebagai parti pemerintah sejak negara mencapai kemerdekaan, tindakan menarik diri daripada pilihan raya akan memberi gambaran BN kini gentar untuk berdepan dengan pembangkang".

"Kita tidak perlu takut untuk berdepan dengan mereka kerana pada masa depan saya percaya mereka akan mencuba helah lain memaksa lebih banyak pilihan raya kecil diadakan," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir pula berkata, mana-mana parti politik yang memaksa diadakan pilihan raya kecil atas sebab-sebab selain kematian atau sakit sepatutnya dikenakan denda sewajarnya.

"Mungkin juga boleh dipertimbangkan supaya parti berkenaan dihalang dari bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut," katanya.

Beliau berkata, tindakan mengadakan pilihan raya kecil tanpa alasan kukuh, satu penyalahgunaan proses demokrasi selain membazir duit rakyat dan parti yang bertanding.

Sementara itu, Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustapha Ishak menganggap pilihan raya kecil itu adalah peluang terbaik BN memberi penjelasan kepada rakyat mengenai lakonan pembangkang dalam keghairahannya mempertahankan kuasa politik.

"BN mesti melihat setiap pilihan raya dengan serius, kalau dianggap beban ia akan memberi gambaran bahawa parti itu sudah 'letih'. BN tidak perlu rasa malu dan takut untuk hadapi sekali lagi kekalahan," katanya.

Sementara itu dalam nada berbeza, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bersetuju BN tidak menyertainya kerana pilihan raya kecil itu tidak menyumbang kepada pembinaan bangsa.

Katanya, pilihan raya itu adalah hasil polemik politik kotor parti pembangkang bagi menghalalkan percaturan mereka.

"Wakil rakyat sesuatu kawasan merupakan amanah rakyat yang telah memilih mereka dengan cara demokrasi. Tindakan meletak jawatan hanya untuk mengadakan pilihan raya kecil adalah tindakan mengkhianati amanah itu," katanya.

Ketua Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berharap semua parti komponen BN akan menyokong cadangan Perdana Menteri bahawa BN mungkin tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Katanya, walaupun Wanita UMNO sentiasa bersedia, pihaknya tidak bersetuju proses demokrasi di negara ini disalah guna dan diperlekehkan.

"Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa oleh kerenah individu dan kegagalan pembangkang menyelesaikan masalah dalaman parti mereka," katanya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula bimbang trend penyalahgunaan demokrasi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga boleh mengelirukan rakyat tentang maksud sebenar konsep tersebut.

"Biarpun demokrasi memberi kebebasan kepada rakyat untuk membuat pilihan, namun tindakan sengaja mengosongkan kerusi tertentu bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil adalah tidak wajar," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Reezal Merican Naina Merican menyifatkan cadangan BN untuk tidak bertanding di DUN Penanti adalah tepat dan wajar.

"Tidak ada apa-apa yang perlu dibuktikan di DUN Penanti, selain proses pilihan raya menjadi alat permainan parti tertentu," katanya.

Pautan asal di sini.

1 comments:

Saya tidak setuju diadakan PRK di Penanti. Apa salahnya bagi walkover? Jawapannya ada di blog saya.


Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers