ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Penanti: Lain Padang Lain Belalang, Lain Orang Lain Pandangan



Pilihan raya kecil DUN Penanti menjadi isu hangat. Sudah empat hari kerusi tersebut dikosongkan oleh bekas TKM 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) pada 16 April 2009 baru-baru ini.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi ia menjadi tuntutan biasa untuk pengisian semula kerusi itu melalui proses pilihan raya kecil. Tapi kekosongan kerusi DUN Penanti telah dipertikaikan banyak pihak khususnya oleh kepimpinan Barisan Nasional.

Rata-rata bependapat ianya tidak sepatut berlaku. Peletakan jawatan yang sewenang-wenangnya oleh mana-mana wakil rakyat dengan alasan yang tidak munasabah dinilai sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat dan pencabulan ke atas sistem demokrasi sebenar. Ini juga satu perkembangan politik yang tidak sihat yang diamalkan oleh pembangkang.

Pilihan raya kecil hanya wajar diadakan jika berlaku kematian wakil rakyat di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang diwakili. Mungkin juga berlaku pilihan raya kecil atas sebab-sebab lain sekiranya wakil rakyat dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana kesalahan yang serius atau jika diisytiharkan muflis.

Alasan melanjutkan pelajaran seperti yang dikemukakan oleh Mohammad Fairus Khairuddin merupakan tindakan yang kurang munasabah dan dilihat sebagai satu helah pakatan pembangkang yang ghairah berpolitik.

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kecewa dengan tindakan parti pembangkang yang dianggap tidak bertanggungjawab terhadap amanah rakyat. Tambah beliau pembangkang juga cuba bermain kotor untuk menguji sokongan rakyat. Beliau kemungkinan mengkaji untuk tidak meletakkan calon BN bertanding di DUN Penanti.

Bagaimanpun kenyataan Perdana Menteri mendapat reaksi berbeza di kalangan beberapa pemimpin dalam kelompok Barisan Nasional. Ada yang bersetuju dengan saranan Datuk Seri Najib dan ada yang tidak bersetuju.

Inilah yang dikatakan "Lain Padang Lain Belalang, Lain Orang Lain Pandangan". Masing-masing ada pendapat peribadi. Bagi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat BN tidak sepatutnya mengaku kalah dan perlu meletakkan calon pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

Menteri di JPM, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tiada sebab untuk BN memberikan kemenangan percuma kerana tidak semua pengundi di DUN Penanti bersetuju dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, kalau tidak bertanding kita macam sudah mengaku kalah sedangkan pembangkang tetap bertanding walaupun di kubu kuat BN. Kekuatan semangat seperti pembangkang perlu dicontohi oleh BN.

Sementara Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, BN mesti menyertai pilihan raya kecil itu bagi mempertahankan integriti, prestij dan imejnya.

Kata beliau, sebagai parti pemerintah sejak negara mencapai kemerdekaan, tindakan menarik diri daripada pilihan raya akan memberi gambaran BN kini gentar untuk berdepan dengan pembangkang.

Bagi penganalisis politik, Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustapha Ishak pula menganggap pilihan raya kecil itu adalah peluang terbaik BN memberi penjelasan kepada rakyat mengenai lakonan pembangkang dalam keghairahannya mempertahankan kuasa politik.

Seorang lagi penganalisis politik terkenal yang baru mengulas di blognya, Datuk A. Kadir Jasin melihat tidak cerdik, tidak demokratik dan cetek akal sekiranya UMNO dan BN memboikot pilihan raya kecil DUN Penanti kerana rakyat akan menilai BN tidak mempunyai semangat juang yang tinggi.

Ini akan menghilangkan pengaruh keyakinan rakyat terhadap BN sebagai sebuah parti pemerintah. Katanya, walaupun BN tidak mungkin mampu merampas kembali kerusi tersebut tetapi masih mempunyai penyokong yang ramai yang pasti kecewa jika BN tidak bertanding.

Tambah beliau lagi, dengan bersemangatkan kepemimpinan baru dan jika betul analisis mengatakan semakin ramai pengundi Melayu telah kembali menyokong BN seperti di Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada pilihan raya kecil baru-baru ini, maka sangat tidak bijak untuk BN memulaukan pilihan raya kecil DUN Penanti.

Pada analisis saya secara peribadi pula, semua pendapat yang dilontarkan oleh mana-mana pihak ada pro dan kontra masing-masing. Yang menyokong agar BN meletakkan calon pun benar dan yang tidak menyokong BN meletakkan calon pun ada benarnya.

Dalam konteks ini ada dua perkara yang perlu kita teliti. Pertama, mengenai apa yang sudah tersurat dan kedua ialah perkara-perkara yang mungkin tersirat. Ini perlu kita rungkai dan bincangkan bersama semua pihak agar mendapat satu keputusan terbaik yang lebih tepat.

Jangan beranggapan idea-idea dan pandangan kita sahaja yang terbaik daripada orang lain. Sebaik-baiknya kita harus gabungkan kesemua pendapat dan pandangan suara ramai sebelum memuktamadkan sesuatu keputusan.

Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu mengamalkan sikap keterbukaan dan mengambilkira suara hati rakyat serta pandangan ahli-ahli di akar umbi di bawah kepimpinannya.

Secara zahirnya memang BN wajar mempertahankan imej, prestij dan integriti sebagai parti pemerintah tetapi ada ketika kita juga perlu melihat dan menilai di satu sudut yang lain dan tidak hanya kepada maruah parti semata-mata.

Oleh kerana ketidakmunasabahan yang berlaku maka ada baiknya saranan Datuk Seri Najib untuk tidak meletakkan calon BN bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti. Kita kena juga melihat di sudut memberi pengajaran kepada parti pembangkang.

Tindakan ini bukan bermakna kita memboikot membuta tuli tetapi ada asasnya. Kita tidak mahu selepas ini pembangkang akan berterusan mengamalkan permainan politik kotor dengan peletakan jawatan oleh wakil rakyatnya satu demi satu dengan agenda mereka yang tersirat.

Jika dilayan ianya tidak mustahil akan berlaku lagi seterusnya. Biarlah wakil rakyat mereka nak meletakkan jawatan di semua kerusi-kerusi yang dimenangi mereka pun. Memang itu kerusi mereka dan tidak rugi apa-apa pun kepada BN. Tiada apa-apa kesan kepada BN. Cuma yang menyokong agar BN meletakkan calon bertanding dengan harapan jikalau ianya mungkin dapat dirampas kembali.

Pada hemat saya pembangkang masih ghairah hendak berpolitik sepanjang masa maka biarkan mereka syok sendiri. Tindakan wakil rakyat pembangkang meletakkan jawatan sebagai ADUN atau Ahli Parlimen sebenarnya merugikan mereka sendiri.

Seseorang wakil rakyat yang telah meletakkan jawatan harus menunggu tempoh sehingga lima tahun untuk membolehkan mereka bertanding semula dalam mana-mana pilihan raya. Jadi siapa sebenarnya yang rugi?

Barisan Nasional mungkin letih dengan gelagat tidak bertanggungjawab parti pembangkang tetapi jika BN buat tidak peduli dan tidak melayan desakan pilihan raya kecil yang sengaja dicetuskan pembangkang, lama kelamaan pembangkang pula yang akan letih sendirian apabila BN tidak melayan. Langkah ini juga mampu membuka mata rakyat.

Menjawab kepada Prof. Dr. Mohamed Mustapha Ishak agar BN mengambil peluang membuat penjelasan kepada rakyat mengenai lakonan pembangkang, saya rasa tidak semestinya dilakukan semasa kempen pilihan raya kecil DUN Penanti sahaja. Di mana-mana dan di masa-masa lain pun kita boleh membuat penjelasan berkenaan.

Sekiranya Datuk Seri Najib mengekalkan keputusannya untuk tidak meletakkan calon BN bertanding di DUN Penanti mungkin beliau telah meneliti keputusan beliau dan saya merupakan salah seorang ahli UMNO yang bersetuju dengan tindakan tersebut.

Transformasi bermaksud membawa pembaharuan. Mungkin tindakan ini juga merupakan satu pembaharuan yang tidak pernah berlaku di dalam UMNO dan BN sejak 52 tahun negara mencapai kemerdekaan. Saya yakin Perdana Menteri keenam ini tahu apa yang beliau lakukan.

Sokongan dan kepercayaan wajar diberikan kepada beliau dan kita harus menghormati keputusan beliau selagi tidak menjejaskan parti dan kerajaan yang diterajuinya.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

3 comments:

Pada pandangan saya PM hanyalah mengutarakan satua persoalan untuk dibincangkan bersama rakyat khusunya bijakpandai tentang apakah baik dan buruknya jika BN tidak meletakkan calunnya di DUN Penanti dalam PRK ini? Saya pasti BN akan meletakkan calunnya. Bukan setelah dinasihati oleh akar umbi, tetapi setelah mendapat banyak pandangan yang serupa dengan beliau. Tentunya Pak Najib juga tahu akan pandangan buruk dan negatif sebahagian ramai penyokong kerajaan jika BN tidak meletakkan calunnya. Kepada kita yang sayangkan BN, memang terpanggil untuk memberikan komen smada dalam media prima maupun dalam media alternatif seperti blog ini.
Sdr Ketua Pemuda kenalah lebih berani menyatakan pendirian samada mahu BN letak calun atau sekadar ikut apa kata PM? Pemuda sekarang harus berani mengenengahkan pendapat dan pandangan yang bernas dan bijaksana. Jangan sekadar menjadi pemberita sahaja yang menyampaikan pandangan orang lain. Pandangan sendiri masti mau kelas dan hebat. Jika ini dapat ditrampilkan, luka yang selama ini bernanah, tentunya akan kembali pulih dan tidak langsungf meninggalkan parut.


Ketua Pemuda UMNO yang baru mungkin serba salah utk menyuarakan pandangan. Di bagi salah, tak dibagi pun salah, jadi kita kena faham keadaan buat sementara waktu.

Beliau mungkin mengambil pendekatan berhati-hati. Beri sedikit masa dan peluang. Kita harus kembali bersatu dan jangan mudah menghukum tetapi bertukar-tukar pendapat itu perlu demi kemajuan.

Terima kasih atas pandangan saudara.


Saya sokong BN tidak bertanding pada PRK DUN Penanti. Ulasan saya seperti berikut...

Adakala Pembangkang Tidak Perlu Dilayan...kerana kita boleh kesan betapa jijik dan kotornya permainan politik pakatan haram PR yang didalangi Anwar Ibrahim.


Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers