ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Langkah Awal Yang Bijak Wajar Dilakukan Khairy



Pelantikan jawatankuasa pengurusan Pemuda UMNO yang baru yang dibuat saudara YB Khairy pada 13 April di pejabatnya di PWTC kelmarin adalah satu tindakan awal yang bijak yang dilakukan beliau.

Barisan jawatankuasa baru ini amat perlu untuk menguruskan pergerakan Pemuda UMNO di bawah teraju beliau selepas memenangi jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan parti akhir bulan Mac lalu.

Mereka yang telah dilantik ialah orang-orang kepercayaan beliau yang dikenalpasti mampu memberi sumbangan dan bakti kepada pergerakan itu demi kemajuan dan keperkasaan Pemuda UMNO sebagai sayap kanan parti.

Menurut beliau, ahli-ahli exco pemuda akan diumumkan kemudian setelah beliau merujuk dan berbincang terlebih dahulu dengan semua ketua-ketua Badan Perhubungan UMNO di peringkat negeri.

Adalah menjadi harapan saya dan seluruh ahli-ahli di akar umbi untuk melihat Ketua Pemuda UMNO yang baru ini mampu membuat satu keputusan yang terbaik untuk melantik barisan exco secara saksama dan mampu memenuhi aspirasi ahli-ahli pemuda. Semoga keputusan beliau menepati kehendak ahli-ahli parti.

Pemilihan barisan exco pemuda yang bakal dilantik oleh Khairy pastinya ditunggu-tunggu dan akan dinilai oleh seluruh ahli-ahli parti khususnya pergerakan pemuda bahagian dan cawangan di seluruh negara. Barisan exco yang lemah akan mengundang padah kepada pergerakan itu.

Diharapkan beliau tidak mengamalkan sikap diskriminasi dalam membuat pelantikan tersebut walaupun terpaksa berhati-hati dengan sikap sesetengah ahli pemuda yang bermuka-muka.

Pandangan serong terhadap beliau dibimbangi akan terus berlarutan jika beliau dengan sengaja mengenepikan ahli-ahli pemuda dari golongan penyokong lawannya semasa pemilihan parti baru-baru ini.

Sekaligus jika ini terjadi ia menggambarkan "cakap tidak serupa bikin" kerana selepas memenangi jawatan Ketua Pemuda pada Mac lalu, Khairy telah meluahkan harapannya untuk kembali merapatkan barisan pemuda.

Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh ahli-ahli pemuda kembali bersatu tanpa mengira mereka penyokong beliau atau penyokong kedua-dua lawannya semasa pemilihan parti yang lalu.

Beliau mahukan ketiga-tiga semangat "Setiakawan, Pemuda Berani dan Berani Berubah" yang dislogankan oleh ketiga-tiga calon yang bertanding dalam pemilihan itu menjadi landasan perjuangan pemuda di bawah kepimpinannya.

Maka itu marilah kita semua khususnya ahli-ahli pemuda menyahut seruan Ketua Pemuda UMNO yang baru. Kembalilah bersatu memberi sokongan kepada beliau demi perjuangan parti untuk rakyat dan negara.

Waktu pemilihan sudah berlalu dan hentikanlah sikap berpuak-puak yang tidak membawa apa-apa kebaikan buat kita. Saya juga merayu kepada mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak berterusan mengkritik atau mengecam Ketua Pemuda yang baru ini.

Pada hemat saya secara peribadi, Khairy Jamaluddin mampu membawa perubahan dan pembaharuan kepada pergerakan Pemuda UMNO sekiranya beliau berpegang teguh dengan kata-katanya itu.

Kewibawaan beliau akan lebih terserlah jika beliau berjaya mengotakan setiap janji-janjinya. Pengucapan beliau sebaik-baiknya biarlah selaras dengan tindakan yang diambil.

Oleh itu saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli parti marilah sama-sama kita kembali merapatkan barisan tidak kira di sayap mana kita berada dalam parti. Penyatuan ahli-ahli adalah penting kepada parti demi memperteguhkan semula perjuangan kita.

Perasaan tidak puashati dan kurang senang sesama kita haruslah dikikis. Semua orang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Seseorang yang pernah bersalah tidak wajar dihukum bersalah selama-lamanya.

Kita masing-masing ada keburukan dan juga kebaikan. Untuk berjaya, nilailah pada kebaikan sebaliknya meletakkan keburukan itu sebagai sempadan.

Berilah peluang kepada beliau untuk membuktikan kewibawaannya membawa transformasi kepada pergerakan Pemuda UMNO.

Tidak dinafikan Khairy seorang pemimpin muda yang berkaliber cuma kemarahan ramai mula memuncak di kalangan ahli-ahli parti berpunca dari cara beliau menerjah naik secara mendadak melalui jalan pintas serta dikaitkan pula sebagai menantu Pak Lah (Perdana Menteri pada ketika itu).

Perkara ini masih bermain di minda ahli-ahli parti dan juga rakyat. Ditambah lagi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana dikaitkan dengan politik wang semasa pemilihan parti bulan lalu.

Oleh itu Khairy perlu bijak mengambil kesempatan ini untuk membuat keputusan yang tepat di samping menyusuli dengan tindakan-tindakan yang lebih berkesan agar dapat menjernihkan semula keadaan.


Kesimpulannya kita harus terima kenyataan bahawa beliau adalah Ketua Pemuda UMNO yang dipertanggungjawabkan menerajui pergerakan itu. Suka tidak suka kita mesti hormati keputusan dan kembali memupuk perpaduan demi mengelakkan perpecahan.

Ungkit mengungkiti hanya akan menimbulkan perasaan sakit menyakiti antara kita. Sama-samalah kita saling bermuhasabah dan memikirkannya.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

0 comments:

Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers