ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Apa Usaha UMNO Bahagian Ampang Untuk Perkasakan Parti?



AMPANG - Jumaat, 5 Jun '09: Sejak dua penggal kebelakangan ini atau lebih kurang tempoh 10 tahun terakhir, saya mengikuti perkembangan dan perhatikan perjalanan organisasi UMNO Bahagian Ampang yang berkedudukan agak kaku tanpa sebarang aktiviti yang merangsangkan ahli-ahlinya. Tanpa aktiviti-aktiviti pastilah tidak akan ada dana sendiri.

Mengikut sumber-sumber maklumat yang saya perolehi daripada UMNO Bahagian Ampang, kakitangan UMNO Bahagian sudah lebih setengah tahun tidak bergaji. Ini satu berita yang sungguh menyedihkan malah memalukan setelah BN kehilangan kuasa di Selangor.

Apakah selama ini UMNO Bahagian hanya bergantung kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri sahaja untuk membayar gaji kakitangan? Kenapa selama ini kepimpinan UMNO Bahagian tidak terbuka minda untuk 'sediakan payung sebelum hujan' dengan mewujudkan pelbagai aktiviti keusahawan bagi mengumpulkan dana?

Sebab itu bukan mudah mahu menjadi pemimpin parti kerana sebagai pemimpin kita harus ada ketokohan, kewibawaan dan mempunyai banyak lagi ciri-ciri sampingan seperti kreativiti ke arah memajukan, memperkukuhkan dan memperkasakan parti.

Ketika berbual dengan Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Ampang, di bawah Bahagian Ampang sahaja, kita mempunyai 99 buah cawangan keseluruhannya. Adalah dipercayai terdapat cawangan-cawangan yang tidak lagi aktif. Cawangan itu sudah mati atau tidak lagi berfungsi.

Salah satu cawangan yang dikenalpasti sudah mati terus ialah Cawangan Bukit Indah Pusat. Ini berlaku kerana keseluruhan jawatankuasa dan ahli-ahli cawangan berkenaan terdiri daripada penyokong-penyokong bekas TPM, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, merangkap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka telah keluar beramai-ramai daripada parti setelah berlaku pemecatan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti pada tahun 1998 oleh mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beberapa kes salahlaku seperti kes rasuah dan kes liwat yang dilakukan pemimpin tersebut.

Saya melahirkan rasa terkilan di atas sikap sambil lewa pengurusan UMNO Bahagian Ampang yang tidak mengemaskini kedudukan keahlian mereka yang telah keluar parti itu. Sepatutnya perkara seperti ini dilaporkan segera kepada Ibupejabat UMNO untuk tindakan menamatkan keahlian mereka atau sudah wajar dipecat daripada UMNO dan cawangan tersebut wajib dimansuhkan serta-merta.

Ini penting bagi mengelakkan penyalahgunaan nama UMNO oleh bekas ahli-ahli berkenaan. Selain itu juga pembangkang akan mengambil peluang mengada-adakan propaganda seperti yang berlaku baru-baru ini apabila ADUN Lembah Jaya (PAS) membuat kenyataan kononnya 50 ahli UMNO Ampang telah mengisi borang menyertai PAS sedangkan sebenarnya yang menyertai mereka itu ialah bekas ahli-ahli yang sudah tidak aktif.

Apa guna wujudnya terlalu banyak cawangan di bawah UMNO Bahagian Ampang jika ianya tidak mampu untuk terus kekal aktif dan tidak berfungsi dengan sebaik-baiknya? Keadaan ini tidak akan mampu memberi sumbangan positif ke arah usaha memperkukuhkan kedudukan parti.

Selain daripada Cawangan Bukit Indah Pusat, mungkin ada beberapa lagi cawangan-cawangan lain yang turut mengalami nasib yang sama. Ia menjadi tanggungjawab pengurusan UMNO Bahagian Ampang untuk menyiasat dan mengambil tindakan segera tanpa berlengah.

Sebuah cawangan yang boleh dianggap aktif dan berfungsi haruslah mengadakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah untuk ahli-ahlinya di samping mempergiatkan usaha-usaha menambahkan keahlian parti dari masa ke semasa. Sebaik-baiknya lakukanlah sekurang-kurangnya satu aktiviti setiap bulan.

Menurut kajian saya secara peribadi, kebanyakan cawangan-cawangan masih kekal dengan sejumlah keahlian yang sama tanpa ada penambahan ahli-ahli baru untuk tempoh yang sangat lama sejak ditubuhkan. Di sini secara langsung kita dapat mengukur ketokohan dan kewibawaan seseorang Ketua Cawangan itu yang jelas tidak melakukan kerja dengan baik.

Tugas dan tanggungjawab ini mesti dipikul dengan jujur dan amanah oleh semua ketua-ketua cawangan berserta ketua-ketua sayap parti di cawangan masing-masing. Bukan setakat duduk diam setelah menubuhkan cawangan, hanya untuk memegang jawatan dan bergelar sebagai Ketua Cawangan, Ketua Wanita Cawangan, Ketua Pemuda Cawangan atau Ketua Puteri Cawangan sahaja. Lebih-lebih lagi di peringkat bahagian.

Sebenarnya banyak aktiviti-aktiviti berguna dapat dilaksanakan jika ada kemahuan. Aktiviti-aktiviti boleh dikategorikan kepada banyak cabang-cabang utama. Yang paling penting setiap Ketua Cawangan haruslah mempunyai idea serta kreativiti sendiri bagaimana mahu menjana dana sebagai sumber kewangan cawangan masing-masing dan tidak bergantung harap kepada UMNO Bahagian dan Badan Perhubungan UMNO Negeri semata-mata.

Akhir-akhir ini barulah ada kedengaran usaha menubuhkan Biro Usahawan Wanita oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ampang. Sepatutnya ia sudah lama diwujudkan semasa BN masih berkuasa di Selangor lagi malangnya kesedaran tidak ada pada ketika itu kerana merasa selesa dengan kedudukan kuasa.

Jika tidak silap saya, Ketua Biro Usahawan Wanita UMNO Bahagian yang dilantik baru-baru ini ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ampang sendiri, Dr. Rozaidah Talib (bekas Ahli Parlimen Ampang bagi penggal 2004 - 2008) tetapi senarai penuh ahli-ahli jawatankuasanya masih belum diterima.

Harapan saya semoga Biro Usahawan Wanita yang ditubuhkan oleh UMNO Bahagian Ampang ini akan benar-benar berfungsi dan mampu menjadi salah satu cabang untuk menjana dana bagi membantu sumber kewangan UMNO Bahagian Ampang.

Secara jujur dan ikhlas, saya kecewa melihat seseorang pemimpin itu memegang jawatan terlalu banyak tetapi akhirnya gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan. Jika awal-awal kita sudah merasa tidak berkemampuan maka eloklah dilepaskan kepada ahli-ahli lain supaya apa saja yang ditubuhkan mampu digerakkan dengan lebih lancar dan mencapai objektifnya.

Sudah tiba masanya pengurusan UMNO Bahagian di seluruh negara wajib berubah. Ahli-ahli UMNO perlu bersikap lebih terbuka dan wajar memberi sokongan kepada individu-individu yang mampu membawa kemajuan kepada perjuangan parti. Sikap berpuak-puak dan hanya menyokong kroni-kroni harus dihapuskan maka akan kukuhlah parti dan perkasalah ia.

Persoalan 'aku orang lama' atau 'aku lebih tahu apa aku buat' tidak harus timbul di kalangan ahli-ahli parti apabila ada pihak yang cuba menyumbangkan idea-idea bernas demi kebaikan dan kesejahteraan untuk semua. Sikap 'gila kuasa' terhadap pangkat dan jawatan akan merugikan parti. Berilah peluang kepada golongan yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan.

Bersepakat dan saling bermuafakat itulah kunci kejayaan kita. Kata pepatah 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'. Individu yang bersikap egoistik akan mendorong kehancuran parti tidak kira di peringkat mana pun beliau berada di dalam parti. Jika di dalam UMNO masih ada individu-individu seperti ini eloklah kita tolak awal-awal sebelum parti menjadi mangsa kebencian rakyat.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

0 comments:

Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers