AMPANG - Rabu, 29 April '09: Konflik dalaman pakatan pembangkang antara PAS dan PKR diramalkan sukar reda dalam tempoh terdekat. Pertelingkahan dan ketidaksefahaman kepimpinan kedua-dua parti berkenaan menggambarkan keadaan sebenar mereka seakan-akan berada di ambang "retak menanti belah".
Menurut Yang Dipertua PAS kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan menegaskan kepimpinan PAS kawasan itu tetap berkeras dengan pendiriannya mahu meletakkan calon PAS untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti. Berita berkaitan isu di sini.
Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah pun mengesahkan bekas Setiausaha Politiknya, Dr Mansor Othman yang kini Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri Pulau Pinang (PKR) akan menjadi calon di Penanti bagi mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 31 Mei depan.
Mengikut kenyataan Datuk Seri Anwar, lewat petang 27 April beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang bagi memaklumkan perkara ini. Beliau yakin Dr Mansor Othman yang juga bekas Pensyarah di Universiti Sains Malaysia merupakan pesaing utama dan calon terbaik untuk diletakkan dalam pilihan raya kecil Penanti. Berita berkaitan isu di sini.
Mungkinkah dengan kemelut ini dan atas dasar desakan ahli-ahli akar umbi PAS di Permatang Pauh maka PAS tetap akan meletakkan juga calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil di DUN Penanti? Jika keadaan ini berlaku di Penanti, di manakah kesefahaman Pakatan Rakyat yang selama ini digambarkan manis kepada rakyat oleh kepimpinan mereka?
Kalau diteliti ada benarnya berlaku krisis dalaman antara ketiga-tiga parti yang menganggotai Pakatan Rakyat. Sebelumnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meluahkan rasa kecewa isu Mohammad Fairus Khairuddin yang meletakkan jawatan sebagai ADUN Penanti setelah meletak jawatan TKM 1 Pulau Pinang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak tampil menamakan calon pengganti (dari PKR) untuk jawatan TKM 1 itu.
Sementara PAS, kalau dulu pemimpin-pemimpinnya saling hormat menghormati antara mereka dan tidak kedengaran pun berebut jawatan tertinggi parti. Hari ini terdapat dua kumpulan utama dalam PAS yang bersedia mencabar dan dicabar pada Muktamar PAS bulan Jun ini. Ini satu perubahan yang kita nampak berlaku.
Selain itu saya sendiri ada mendengar ahli-ahli muda PAS dan PKR yang berpendidikan, ramai di kalangan mereka sudah mula menunjukkan sikap kurang senang terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Desas desus mengatakan pertelagahan pendapat di antara Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS adalah angkara rencana Datuk Seri Anwar Ibrahim yang licik bermain jarum.
Kenyataan Nik Abduh (anak lelaki Tuan Guru Nik Aziz) menambahkan lagi keyakinan ramai. Seolah-olah wujudnya satu jentera khas yang melagakan kepimpinan PAS. Siapakah dalangnya? Dalam penulisan di blognya, beliau semacam tidak menolak kemungkinan berlakunya kerja-kerja bodoh di dalam PAS. Berita berkaitan isu boleh dirujuk di sini dan juga di sini.
Itulah politik, apabila masing-masing sudah mula nampak jawatan dan kuasa maka semua parti-parti politik tidak terkecuali daripada menghadapi krisis dalaman parti, tidak kira pemimpin itu warak atau sealim mana sekalipun. Ini boleh kita jadikan sebagai satu pengajaran untuk diambil iktibar.
ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"
Post a Comment
MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!
Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.
Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.
"BAHASA JIWA BANGSA"
Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.