KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing menerajui Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Wilayah Persekutuan manakala UMNO Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing dipimpin oleh tiga Naib Presiden manakala Perak diterajui oleh Menteri Besar.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Pulau Pinang, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal (Kedah), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu) dan Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengetuai UMNO negeri tersebut.
Ketika mengumumkan rombakan kecil barisan kepimpinan UMNO negeri dan ibu pejabat parti di sini hari ini, Najib mengekalkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung dan melantik Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari Agung yang baru menggantikan Datuk Abdul Azim Zabidi.
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan dilantik Ketua Penerangan UMNO bagi menggantikan Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
"Pelantikan-pelantikan ini berdasarkan peruntukan perlembagaan UMNO," kata Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang pertama dipengerusikannya selepas mengambil alih pucuk kepimpinan parti pada 28 Mac lepas.
Dalam pemilihan UMNO Mac lepas, Mohd Ali dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO kerana melanggar etika parti, Rafidah gagal mempertahan jawatan Ketua Wanita manakala Abdul Ghani dan Shahidan gagal dalam pemilihan jawatan Majlis Tertinggi.
Najib berkata bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir juga dilantik menjadi anggota MT.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri yang dilantik ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin (Perlis), Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah (Kedah), Datuk Zainal Abidin Osman (Pulau Pinang), Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Perak), Datuk Noh Omar (Selangor), Raja Nong Chik (Wilayah Persekutuan).
Datuk Seri Shaziman Abu Mansor (Negeri Sembilan), Datuk Wira Abu Seman Yusop (Melaka), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Johor), Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin (Pahang), Datuk Ahmad Said (Terenggganu), Datuk Awang Adek Hussein (Kelantan) dan Datuk Seri Salleh Said Keruak (Sabah).
Najib berkata semua Menteri Besar dari UMNO yang tidak dilantik ke jawatan MT akan dijemput ke mesyuarat sebagai yang turut hadir dalam mesyuarat.
Kelantan dan Perlis turut mendapat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang baru dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed menggantikan Tan Sri Annuar Musa di Kelantan manakala Menteri Besar Perlis Datuk Seri Md Isa Sabu menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang dikekalkan ialah Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Abdul Ghani Othman (Johor) dan Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan).
Dalam mesyuarat yang berlangsung selama lebih tiga jam itu, Najib turut mengumumkan tiga wakil sayap parti sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) iaitu Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Pemuda dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Puteri UMNO Perak, Dr Wan Norashikin Wan Nordin.
Sembilan lagi anggota MT UMNO yang dilantik ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Mejar Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Empat individu yang pernah berada di dalam anggota Majlis Tertinggi yang dilantik semula hari ini ialah Ketua Menteri Melaka dan bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Ali Rustam, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, Abdul Ghani (Menteri Besar Johor) dan Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis.
-- BERNAMA - Pautan asal di sini.
Post a Comment
MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!
Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.
Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.
"BAHASA JIWA BANGSA"
Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.