ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

Pilihanraya Kecil Berterusan Membosankan Rakyat dan Satu Pembaziran



Isu peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin (PKR) sebagai ADUN Penanti telah diterima dan disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya semalam. Dalam tempoh 60 hari satu lagi pilihanraya kecil akan diadakan di DUN Penanti dalam Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Sebelum ini lima pilihanraya kecil telah diadakan yang melibatkan kerusi Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang, Parlimen Kuala Terengganu di Terengganu, Parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Air di Sarawak.

Pilihanraya kecil Permatang Pauh dilangsungkan pada 26 Ogos 2008 ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Umum PKR) yang ketika itu baru bebas daripada tempoh penggantungan bertanding dalam pilihanraya.

Di Kuala Terengganu pula pilihanraya kecil terpaksa diadakan pada 17 Januari 2009 atas sebab kematian penyandangnya, allahyarham Datuk Razali Ismail (Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu) yang meninggal dunia kira-kira jam 6:30 petang pada 28 November 2008 setelah rebah ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Begitu juga di Bukit Gantang ianya diadakan serentak dengan Bukit Selambau dan Batang Air pada 7 April 2009 baru-baru ini ekoran kematian penyandangnya, allahyarham Roslan Shaharum (PAS) yang tiba-tiba jatuh pengsan selepas dikatakan menaiki basikal dan disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 12:00 tengahari pada 9 Februari 2009 ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sementara di Batang Air, Sarawak terpaksa diadakan pada 7 April 2009 kerana kematian penyandangnya, mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot (PRS-BN) yang meninggal dunia kira-kira jam 1:25 pagi pada 24 Februari 2009 akibat serangan angin ahmar.

Manakala di Bukit Selambau, Kedah turut diadakan pilihanraya kecil pada tarikh sama 7 April 2009 ekoran peletakan jawatan oleh penyandangnya, V. Arumugam (Bebas) yang kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri Kedah. Beliau meletakkan jawatan sebagai ADUN Bukit Selambau pada 9 Februari 2009 dengan alasan menerima ugutan.

Sekurang-kurangnya bagi tiga kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Batang Air munasabah untuk diadakan pilihanraya kecil kerana ia melibatkan kematian penyandang-penyandangnya tetapi bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh dan DUN Bukit Selambau ianya diadakan atas sebab peletakan jawatan oleh wakil rakyatnya.

Ditambah dengan peletakan jawatan terbaru sebagai ADUN Penanti oleh Mohammad Fairus Khairuddin, politik pembangkang dilihat semakin keterlaluan kerana mengundang pembaziran masa dan wang rakyat. Keadaan ini sengaja mengundang kesulitan kepada rakyat dan membosankan rakyat.

Dalam suasana kegawatan ekonomi hari ini, kerajaan persekutuan khususnya SPR terpaksa mengeluarkan belanja yang besar bagi menguruskan sesuatu pilihanraya kecil. Begitu juga dengan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti PDRM dan pihak berkuasa tempatan turut terlibat menguruskannya dengan kos yang tinggi bagi menyediakan kemudahan tempat serta menjaga keselamatan.

Ini satu perkembangan politik yang tidak sihat dicetuskan oleh pembangkang dan ia merugikan rakyat dan negara. Pembangkang khususnya PKR harus lebih bertanggungjawab terhadap amanat rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada mereka memenangi kerusi-kerusi berkenaan.

Agenda membela nasib rakyat di kawasan yang dimenangi wajar dipikul dengan penuh amanah dan secara jujur. Bukan berpolitik sepanjang masa hanya kerana ingin memenuhi agenda peribadi demi kepentingan parti yang diwakili mereka atau untuk bersuka-suka menguji sokongan semasa.

Politik bukan pentas bagi pemimpin berseronok sesuka hati untuk bertanding dan kemudian menarik diri pada bila-bila masa mengikut kehendak sendiri. Ia tidak layak diandaikan sebagai satu hiburan yang boleh dicuba-cuba untuk menguji bakat.

Politik adalah pentas perjuangan yang menuntut komitmen yang tinggi dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Agenda membela kedaulatan agama, bangsa dan tanahair yang tercinta adalah menjadi keutamaan.

Pemimpin politik harus fokus kepada tanggungjawab sebagai landasan menghubungkan suara rakyat dan kerajaan. Pemimpin harus kreatif dan inovatif ke arah membawa kemajuan dan pembangunan terhadap ekonomi rakyat dan negara.

Dengan keadaan yang berlaku hari ini kita berharap seluruh rakyat dapat menilai dengan lebih matang pihak manakah sebenarnya yang lebih komited dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat? Ambillah iktibar daripada apa yang berlaku, jangan diperjudikan masa depan rakyat dan negara.

Sejak 52 tahun negara mencapai kemerdekaan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional amat komited dengan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat. Kemenangan majoriti melebihi dua pertiga oleh Barisan Nasional satu jaminan yang memberi petunjuk jelas kita berada dalam kemakmuran selama ini.

Malangnya, setelah rakyat mula memberikan sedikit kuasa kepada pembangkang mentadbir beberapa buah negeri di semenanjung kita dapat melihat dengan ketara lanskap politik negara kian dikucar-kacirkan. Tidakkah ini dapat dijadikan sebagai kayu pengukur oleh rakyat?

Belum ada dalam sejarah pemimpin Barisan Nasional meletakkan jawatan sesuka hati sebelum tamat tempoh sesuatu penggal kerana bertujuan memberi laluan kepada mana-mana pemimpin lain kecuali atas sebab-sebab salahlaku yang dikaitkan atau kematian sahaja.

Tapi pemimpin dari pakatan pembangkang telah mencemarkan sejarah politik negara yang bersih selama ini dengan berbagai-bagai kerenah dan helah. Bukan sekadar menganjurkan perhimpunan haram malah turut merusuh di jalanan dan kini satu tindakan taktik terbaru dengan meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat seorang demi seorang dengan niat mahu menguji sokongan rakyat.

Ketiga-tiga pemimpin yang meletakkan jawatan datangnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jelas sejak kewujudan parti ini negara dilanda kemelut politik yang tidak stabil beberapa tahun kebelakangan ini angkara pemimpin utamanya yang gemar berpropaganda, suka menyebar spekulasi liar dan bersikap retorik yang keterlaluan.

Oleh itu rakyat diseru agar lebih bijak berfikir dan menilai situasi. Apa yang penting kepada kita ialah kemakmuran dan pembangunan. Pengajaran sudah diberikan dan kerajaan Barisan Nasional sudah menyedari segala kekhilafan dan kesilapan mereka.

Kepimpinan baru di bawah teraju YAB Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rendah diri telah menyuarakan hasrat transformasi demi kepentingan rakyat dan negara. Bersamalah kita kembali memberi peluang dan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada beliau.

Dendam tidak membawa sebarang keuntungan tetapi kemaafan setelah pengajaran diberikan lebih bermakna untuk membawa satu impak terbaik ke arah transformasi yang lebih berkesan. Bersamalah kita renungkan demi manfaat semua.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

2 comments:

prk yg tak berkesudahan lepas satu persatu mmg membosankan rakyat. politik dah dicemari dgn taktik kotor pembangkang. ds anwar mendalangi semua agenda ini utk tarik perhatian. ds rais ulas ringkas tp tepat. kenapa di bukit lanjan elizabeth wong tak didesak letak jawatan? apa muslihat pembangkang?


Selangor adalah kubu kuat BN pada asalnya. Selangor jatuh kpd pembangkang kerana berlakunya undi protes dlm pilihanraya umum tahun lepas. Begitu juga dgn beberapa negeri lain.

Sebab itu Elizabeth Wong tak disuruh letak jawatan sbg ADUN Bukit Lanjan. Gelombang politik semasa membuatkan Datuk Seri Anwar cuba mengalih pandangan rakyat di kubu kuat pembangkang supaya mudah dia kelirukan rakyat. Bila menang di Penanti nanti bertambahlah keyakinan rakyat khususnya golongan muda terhadap beliau.

Kita dapat meramal taktik kotor mereka. Sabtu (semalam) Datuk Seri Najib kata mungkin BN tak ambil bahagian dlm pilihanraya kecil di Penanti. Saya sokong idea ini walaupun pertama kali dlm sejarah negara parti pemerintah tak bertanding. Kalau hari ini kita layan nanti tak mustahil akan ada lagi peletakan jawatan wakil rakyat mereka di kubu2 kuat mereka.

Untuk elakkan pembaziran masa dan wang, idea Perdana Menteri perlu disokong oleh semua parti2 komponen BN. Sampai bila kita kena layan kerenah2 politik sempit pembangkang sdgkan tanggungjawab terhadap rakyat tak dilunaskan. Kalau pembangkang tak henti2 nak berpolitik biarkan mereka. Lama2 rakyat boleh menilai sendiri siapa yang lebih komited membela rakyat dan memajukan negara.


Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers