ASPIRASI BARU
Menyusur Transformasi Menterjemah Aspirasi

Salam ukhuwah! Selamat melayari blog yang membicarakan.......
ASPIRASI BARU - "MENYUSUR TRANSFORMASI, MENTERJEMAH ASPIRASI"
Muqaddimah dan ucapan sulung penulis menyampaikan Salam Aspirasi di sini.


Dikelolakan oleh BHM - Ahli UMNO Bhg. Ampang, Selangor.

10 ADUN Terengganu Tidak Hormati Usaha Transformasi



Kemelut politik negeri Terengganu semacam tidak reda-reda sejak Datuk Ahmad Said yang menjadi pilihan Istana Terengganu dilantik sebagai Menteri Besar baru menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh pada 22 Mac 2008 dan mengangkat sumpah jawatan pada 30 Mac 2008 tahun lalu.


Perasaan tidak puashati terus dibawa berpanjangan oleh semua ADUN yang tidak menyokong pelantikan Datuk Ahmad Said untuk menerajui kerajaan negeri Terengganu.

Sikap akur kepada perintah Majlis Penasihat Pemangku Raja yang mewakili Sultan yang memperkenan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dilihat sebagai terpaksa atau hanya berpura-pura sahaja. Setelah lebih setahun Terengganu berada di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said, pergolakan berlaku lagi.

Tindakan 10 ADUN Barisan Nasional (UMNO) memboikot sidang Dewan Undangan Negeri adalah satu cerminan negatif tehadap usaha transformasi yang menjadi harapan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang baru.

Semangat transformasi yang dihasratkan Perdana Menteri dengan slogan "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" umpama tidak dihormati oleh 10 ADUN berkenaan. Walau dengan apa alasan sekalipun ianya tidak harus berlaku kerana jelas tidak selari dengan seruan Perdana Menteri.

Sepuluh wakil rakyat DUN dari Barisan Nasional (UMNO) itu adalah pilihan rakyat dan mereka sewajarnya bertanggungjawab menjadi orang tengah yang menghubungkan suara rakyat dengan kerajaan negeri. Ketidakhadiran mereka ke persidangan Dewan Negeri sudah tentu mengecewakan rakyat yang telah memilih mereka.

Lebih mengecewakan lagi di antara kesepuluh ADUN itu termasuklah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh (ADUN Jertih) dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Rosol Wahid (ADUN Ajil).

Tindakan mereka memboikot Dewan Undangan Negeri samalah seperti budak-budak yang kurang matang hanya disebabkan sms ugutan yang entah sahih, entahkan tidak. Laporan polis sudah dibuat tetapi masih takut menghadiri persidangan Dewan Negeri seolah-olah negara kita tidak mempunyai undang-undang.

Jika tidak salah saya sms itu hanya berbunyi "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?". Begitulah lebih kurang bunyinya. Perkara ini dikaitkan dengan usul undi tidak percaya yang dicadangkan oleh beberapa ADUN terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said sebagaimana dilaporkan oleh media-media.

Menurut pandangan seorang penganalisis politik tanahair, Datuk A. Kadir Jasin yang mengulas isu ini di blognya - http://kadirjasin.blogspot.com, beliau menyifatkan tindakan 10 ADUN ini sebagai tindakan yang dangkal dan hambar. Beliau mengecam tindakan yang diambil oleh 10 ADUN negeri Terengganu berkenaan.

Kata beliau lagi, apa pun alasan 10 ADUN BN dari UMNO itu – termasuk kononnya “takut dibunuh”- ketidakcerdikan dan kecetekan pemikiran mereka sangatlah memalukan UMNO.

Sepuluh ADUN yang dimaksudkan itu ialah Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd. Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Din Adam (Bukit Besi), Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Ulasan Datuk A. Kadir Jasin bukan sekadar menarik untuk dibaca tetapi kebenaran intipati yang dipersoalkan beliau di dalam penulisannya itu mempunyai asas bersandarkan sebuah pandangan yang logik yang sewajarnya dimuhasabah oleh kesepuluh ADUN Terengganu yang terbabit memboikot sidang Dewan Negeri termasuklah Menteri Besar Terengganu sendiri.

Petikan perenggan ini harus kita fikirkan;

Memboikot DUN menjejaskan prinsip demokrasi dan konsep perwakilan yang menghubungkan wakil rakyat dengan rakyat jelata yang memilih mereka.

Dalam konteks ini, kita mahu tahu adakah rakyat jelata yang memilih mereka merestui pemberontakan mereka terhadap Ahmad Said atau setuju dengan perbuatan mereka memboikot sidang DUN?

Tindakan mereka dan reaksi Ahmad Said adalah sangat buruk dan amat memalukan.

Justeru itu, adalah tidak memadai bagi Presiden baru UMNO merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, setakat mengarahkan mereka kembali menghadiri sidang DUN.

Sebagai tambahan kepada pandangan Datuk A. Kadir Jasin itu, saya rasa bertepatan jika YAB Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang baru mengambil satu pendekatan yang lebih tegas ke atas semua ADUN berkenaan agar selaras dengan sistem "Petunjuk Prestasi Utama" (KPI) yang beliau sendiri perkenalkan baru-baru ini.

Untuk menjayakan usaha membawa transformasi, ketegasan seorang Perdana Menteri yang juga Presiden parti amatlah perlu supaya kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional dapat dipupuk kembali.

Seluruh wakil rakyat DUN atau wakil rakyat Parlimen harus mengutamakan agenda rakyat yang telah memilih mereka dan bukan bertindak mengikut selera sendiri untuk kepentingan peribadi. Agenda rakyat sepatutnya diberikan keutamaan.

Jika gagal atau tidak lagi berminat memperjuangkan agenda rakyat, pucuk pimpinan wajar menggugurkan mereka dan digantikan dengan pemimpin baru yang masih ramai berkaliber di luar sana yang bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat pada bila-bila masa.

Saya menganggap golongan pemimpin seperti ini akan menjadi punca parasit kepada parti yang akan melemahkan perjuangan parti di saat parti (UMNO dan BN) sedang berusaha membawa agenda transformasi besar-besaran.

Maka itu saya bersetuju dengan pendapat yang disuarakan oleh Datuk A. Kadir Jasin sebagai seorang penganalisis politik yang berpengalaman. Kata dua harus diberikan kepada semua wakil rakyat BN yang tidak bertanggungjawab dan tidak memadai jika sekadar mengarahkan mereka kembali memasuki ke dewan persidangan sahaja.

UMNO dan Barisan Nasional dilihat sedang mengalami krisis kepimpinan di empat buah negeri termasuk Terengganu. Lain-lain negeri ialah Perlis, Selangor dan Perak. Seandainya tidak ditangani segera dengan bijaksana oleh Perdana Menteri dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada kerajaan baru Barisan Nasional di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selesaikan segera sebelum terlewat. Ini satu amanat dan harapan kami ahli-ahli di akar umbi.

ASPIRASI BARU - "Menyusur Transformasi, Menterjemah Aspirasi"

0 comments:

Post a Comment

MAKLUMAN KEPADA PENGUNJUNG !!

Mohon jasabaik semua pengunjung semoga komentar yang dilontarkan menepati kehendak perbincangan dan tidak lari daripada tajuk asalnya.

Sila berikan kerjasama menggunakan bahasa secara lebih berhemah dan bersopan santun supaya perbincangan kita lebih bermanfaat dan sampai kepada aspirasi sebenar. Matlamat dan objektif haruslah diutamakan.

"BAHASA JIWA BANGSA"

Sekian dimaklumkan. Salam perjuangan.

Followers